Friday, November 11, 2011

Hasrat DAP Kurangkan Penjawat Awam Bila Berkuasa


Hasrat DAP kurangkan penjawat awam tidak wajar

LUMUT - Hasrat DAP untuk mengurangkan bilangan kakitangan awam sekiranya dipilih sebagai pemerintah negara adalah satu tindakan tidak wajar dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan penjawat awam.

Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Negeri Perak, Abdul Jalil Yang berkata, pihaknya mahu cadangan itu ditentang habis-habisan oleh semua penjawat awam.
Menurutnya, selama ini Cuepacs sentiasa memperjuangkan nasib dan kebajikan semua penjawat awam di seluruh negara.

“Jika kakitangan sedia ada pun mereka (DAP) mahu kurangkan bilangannya, bagaimana pula nasib kakitangan kontrak seramai 20,000 hingga 30,000 dalam pelbagai jabatan kerajaan.

“Sedangkan Cuepacs berjuang habis-habisan mendesak kerajaan untuk menyerap mereka sebagai kakitangan tetap dalam perkhidmatan awam,” katanya selepas Majlis Perasmian Kesatuan Sekerja Kumpulan Sokongan Jabatan Perikanan Semenanjung Malaysia (KSKSJPSM) di Pusat Pengembangan Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan.

Hadir sama, Presiden Kesatuan Sekerja Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Perak, Jamaluddin Majid dan Pengerusi Penaja KSKSJPSM, Mazlan Ali.

Sementara itu, Jamaluddin berkata, hasrat tersebut sebenarnya menunjukkan niat tidak baik parti berkenaan selain menunjukkan hasrat sebenar mereka untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Belum lagi mereka (DAP) memegang kuasa memerintah negara dan nak buat macam-macam cadangan yang nyata sekali mampu menggusarkan ramai pihak, inilah sikap sebenar mereka.

“Kita boleh lihat, mereka mempunyai agenda mereka tersendiri dan seolah-olah terdapat unsur perkauman kerana hampir 80 peratus penjawat awam terdiri dalam kalangan Bumiputera,”
katanya.

Tambah Jamaluddin lagi, isu tersebut diharap dapat membuka mata segelintir penjawat awam yang selamanya ini terpengaruh dengan pelbagai tohmahan pembangkang sekali gus menjadi penyokong tegar pembangkang.


Oleh : Wartawan Sinar Harian
10 November 2011