Thursday, December 27, 2012

Siapa Yang Takut Hilang Kuasa? Hj Hadi Atau Nik Aziz?


RANTAU PANJANG 26 Dis. 2012 - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak tunduk dengan desakan pelbagai pihak supaya menarik balik amanat yang dibuatnya pada 1981.

Nik Abdul Aziz sebaliknya meminta Abdul Hadi bertemu dan berhujah dengan pihak yang mendesaknya menarik balik amanat yang dibuatnya itu.

“Agama ini bukan hak Haji Hadi seorang, agama ini hak semua, maka kerana apa pihak berkenaan tidak mahu berdepan dengan Haji Hadi, kerana apa, takut?“

Ajar puak penakut ini, takut tidak dapat duit, biar Haji Hadi tegap dengan keputusan dia,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan banjir di sekitar Rantau Panjang di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan pelbagai pihak supaya Abdul Hadi menarik balik amanatnya yang mengkafirkan UMNO yang dibuat pada 1981.

Petikan dari Utusan Malaysia

Yang jelasnya, siapa yang takut hilang kuasa kalau Hj Hadi menarik balik Amanatnya? Nik Aziz, Nik Aziz! Adakah kerana keinginan mengalahkan UMNO dan dapat duduk di Putrajaya membuatkan Nik Aziz hilang pertimbangan pemikiran yang waras? Bagi penyokong PAS yang masih waras, fikir-fikirkanlah ...

Monday, December 24, 2012

C.N. Al-Afghani : SAYA CUKUP MENYESAL …


NAMA ZAINON ISMAIL tidak begitu dikenali ramai kerana figura bertubuh kecil tetapi berhati waja ini lebih dikenali dengan nama C.N. Al-Afghani. Nama itu sebenarnya merujuk kepada Cikgu Non.

Manakala Al-Afghani itu pula kerana beliau pernah berjuang bersama Mujahiddin di bumi Afghanistan demi mencari syahid ekoran pegangan beliau selepas taksub dengan amanat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Akibat amanat Abdul Hadi yang mengkafirkan UMNO pada tahun 1981, perjalanan hidup C.N. Al-Afghani berubah secara drastik. Dek kerana ketaksuban terhadap amanat tersebut beliau tidak lagi mampu berfikir dengan kewarasan akal apabila sanggup mengkafirkan abang dan ayah sendiri.

Beliau juga terlibat dalam cubaan untuk menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama enam tahun kerana dakwaan terlibat mengetuai Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) C.N. Afghani tampil menceritakan kepada wartawan Wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. ASRON MUSTAPHA kenapa beliau melahirkan buku Kafirkah Aku? yang memaparkan kepincangan politik Pas.


MINGGUAN: Sebagai seorang bekas aktivis dan ahli seumur hidup yang begitu tegar dengan perjuangan Pas, apa sebenarnya yang mendorong saudara menghasilkan buku Kafirkah Aku?

ZAINON: Pertama sekali atas kepentingan ummah berdasarkan pengalaman saya sendiri semasa mengkafirkan keluarga terutama abang saya hanya kerana dia ada jawatan dalam UMNO Perlis. Cukup lama saya putuskan hubungan dengan dia. Akhirnya saya fikir sampai bila? Benda ini mempengaruhi saya begitu lama. Ketenangan saya terganggu dengan isu ini.

Hubungan saya dengan bapa juga renggang pasal isu ini. Sebelah isteri pun sama. Saya tidak ziarah kalau mereka ada hubungan dengan UMNO, saya tidak pernah bermalam di rumah bapa mertua malah ketika dia meninggal dunia pun saya tak ziarah secara sepatutnya. Saya tahu dia meninggal dunia tapi sengaja tidak segera untuk pergi ziarah. Saya tidak sembahyangkan jenazah bapa mertua. Saya cuma pergi masa dia dah dibawa ke kubur.

Bukan saya sahaja yang terbelenggu dengan masalah ini. Ramai lagi ahli-ahli Pas yang berpegang kepada prinsip seperti saya berdepan dengan dilema yang sama. Jadi bagaimana nak selesaikan masalah ini. Ia soal akidah yang penghujung syurga atau neraka.

Maknanya selagi saya tidak selesaikan isu ini, sampai ke hari ini saya rasa berdosa. Dosa mengkafirkan ayah dan abang serta saudara seagama ini begitu menghantui saya sehingga akhirnya saya fikir tidak boleh lagi berdiam diri sebab itu saya menghasilkan buku Kafirkah Aku?. Ia satu dakwah untuk menyedarkan ahli-ahli Pas dan masyarakat umum.

Sebagai seorang anak dan adik, apa perasaan saudara di kala ucapan kafir itu dilafazkan kepada ayah dan abang.

ZAINON: Isu ini bukan berlaku kepada diri saya sahaja. Sebaik sahaja terbit Amanat Haji Hadi, sepanjang malam kami di dalam Pas mengadakan usrah. Dalam usrah itu kita bincang isu soal kafir mengkafir dan kita berpegang kepada keputusan perbincangan iaitu UMNO kafir.

Maka, sesiapa sahaja yang terlibat dengan UMNO walaupun saudara kandung mahu pun ibu bapa sendiri mereka kafir. Oleh kerana amanat itu, kita ahli-ahli Pas percaya perpisahan kami dengan saudara kandungan dan ibu bapa itu kerana Allah SWT.

Bila kita percaya perpisahan itu kerana Allah, ahli Pas percaya apabila meninggal dunia kelak tiada dosa apa-apa kerana mereka itu tadi kita anggap melanggar hukum Allah. Mereka bersubahat kerana bersetuju mengundi UMNO.

Maknanya, kami rasa jalan yang diambil itu memang betul bertepatan dengan hukum kerana apa yang diberitahu oleh kepimpinan Pas begitu. Jadi kita peganglah kepada benda ini.

Ayah saya memang kecewa dan dia pernah tulis surat. Surat itu ada pada saya sampai hari ini. Abang saya pula bila malam saya cakap terus terang bahawa antara kita putus hubungan adik-beradik, dia tersangat kecewa hingga dia kata: “Takkan sampai macam tu sekali kot” tapi malam itu saya kata balik: “Memang macam inilah … Prinsip kami macam inilah,”.

Apa sebenarnya peristiwa yang menerbitkan keinsafan kepada saudara kerana selama bersama Pas, saudara bukan sahaja sanggup mengkafirkan keluarga sendiri malah berhijrah ke Afghanistan kerana yakin dengan jihad dan syahid yang cuba diimplimentasi di Malaysia?

ZAINON: Sempadan keinsafan saya ini selepas berlakunya penyelewengan Tabung Memali. Akibat cuba mendedahkan isu penyelewengan ini saya dipecat dari Pas.

Kemudian selepas 2008, apabila Pas merampas Kedah tetapi tidak melaksanakan beberapa tuntutan hukum berkait dengan judi dan arak dan ia direstui oleh pimpinan Pas Pusat termasuk oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri. Ini mengukuhkan lagi kesedaran saya.

Kami di dalam Pas sebelum ini dididik menganggap UMNO sebagai parti taghut antaranya kerana tidak menghapuskan judi dan arak tapi kerajaan Pas Kedah hari ini menghalalkan apa yang dilarang oleh hukum sebagai mana yang dijelaskan oleh Abdul Hadi pada awal tahun 80-an.

Sekarang ini, Kedah mengamalkan perkara sama yang telah difatwakan sebelum ini sebagai kafir. Ini bermakna kerajaan Pas Kedah juga taghut.

Berdasarkan pengalaman sendiri dan rakan-rakan dalam Pas, adakah saudara percaya punca utama perpecahan di kalangan orang Melayu pada hari ini adalah disebabkan Pas yang memperalat agama mengikut acuan dan kepentingan politik sendiri?

ZAINON: Dulu memang saya pun berpegang kepada Amanat Haji Hadi iaitu UMNO kafir. Sebelum saya berpegang dengan amanat itu hubungan saya dengan ahli keluarga dan masyarakat tiada masalah. Masa kenduri-kendara pun kita bersama, tiada sempadan perpisahan. Tapi bila amanat itu keluar pada 1981 dan kami berpegang kepada fatwa UMNO itu kafir, disitulah bermula kita memisahkan diri.

Walau sebaik mana pun UMNO cuba berbaik, kita akan tolak. Mereka jemput ke majlis pun kita akan tolak kerana tidak mahu makan bercampur dengan orang ‘kafir’ dan kita memang diajar begitu. Dari situlah mula keluar fatwa sembelihan orang UMNO tidak sah, jenazah orang UMNO haram ke atas ahli Pas untuk sembahyang dan mandikan, perkahwinan dengan orang UMNO tidak sah dan banyak lagi.

Perpecahan ini memang berpunca daripada sikap pemimpin Pas dari dulu hingga sekarang. Orang Pas sendiri tidak mahu berbaik-baik dengan orang UMNO. Malah mereka akan memberi pelbagai alasan yang tidak logik dalam mewajarkan perkara ini. Contoh terbaik sekarang ini, mereka kata bantuan yang dihulurkan kerajaan itu walau baik macam mana pun untuk rakyat, penuh dengan ‘racun’.

Selepas melihat dan melalui sendiri perpecahan ini adakah saudara merasa perjuangan yang cuba digerakkan ini sebagai jihad untuk menyatukan kembali umat Islam di Malaysia ini?

ZAINON: Saya tidak boleh mendiamkan diri, saya kena berjuang untuk menyelesaikan masalah ini dan tiada cara lain melainkan secara terbuka saya menyeru Abdul Hadi yang mengeluarkan amanat itu supaya ambil satu sikap lebih bertanggungjawab, kerana selagi mana beliau tidak tarik amanat itu, selagi itulah ahli-ahli Pas yang memegang prinsip seperti saya ini akan terdedah dengan masalah yang menekan perasaan kami sampai bila-bila

Abdul Hadi perlu sedar, kesan perpecahan akibat amanat beliau itu cukup besar seperti terjadinya peristiwa memali, solat dua imam, bercerai-berai dan macam-macam lagi. Ini perkara serius, apa lagi benda yang serius dalam agama selain akidah?

Dalam isu kafir mengkafir ini semua ulama sudah mengatakan selagi mana orang tu mengucap dua kalimah syahadah, tidak boleh mengkafirkan orang tetapi kenapa pemimpin Pas sehingga ke hari ini, bersetuju mengkafirkan UMNO.

Ketika memulakan usaha ini, saya sedar risiko, ugutan, serta akan hilang kawan tetapi apabila direnung, saya tidak boleh lagi mengambil sikap berdiam diri. Maka, saya mengambil ketetapan untuk menjaga kepentingan ummah khususnya perpaduan umat Islam lebih daripada perasaan sayang saya kepada Pas. Saya terpaksa ketepikan ini semua demi selamatkan ummah dan Islam.

Semakin tinggi ilmu agama seseorang itu sepatutnya dia semakin tawaduk dan merendah diri tetapi dalam soal amanat ini meskipun telah menyebab perpecahan, Abdul Hadi cukup degil dan tidak mahu tarik balik, mengapa itu berlaku?

ZAINON: Saya rasa ini semua kerana ego. Ego bahawa ilmu yang mereka miliki itu lebih baik berbanding ilmuan lain yang bukan kalangan Pas. Mereka rasa hanya ulama dalam Pas sahaja ilmunya terbaik, tinggi dan boleh dipakai oleh masyarakat.

Ulama-ulama lain walau sebaik mana pun dia, Pas tidak akan iktiraf malah kalau Abdul Hadi sendiri selepas isytihar keluar Pas meskipun tidak masuk UMNO tapi bersetuju dengan dasar UMNO akan dianggap sesat oleh pemimpin Pas termasuk Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagi mereka, ilmu agama ini hak milik orang Pas sahaja. Walaupun kita pakai hujah yang sama, tafsir yang sama, surah yang sama. Maknanya di sini ada satu sifat keegoan yang tinggi yang tidak mahu mengaku bahawa ilmu orang lain baik daripada dia. Saya tidak mahu kata lebih tapi kalau ikut kenyataan pemimpin-pemimpin Pas yang lalu, ego ini sifat syaitan.

Antara asas kepada Amanat Haji Hadi dalam mengkafirkan UMNO adalah kerana berkawan dengan MCA dan MIC tetapi sekarang dalam konteks hubungan Pas dengan DAP kenapa boleh pula dihalalkan?

ZAINON: Benda ini memang banyak orang yang mempersoalkannya. Kalau dulu mereka mengatakan antara hujah mengkafirkan UMNO kerana berbaik dengan MCA dan MIC sekarang ini mereka pula berbaik dengan DAP kononnya mengikut Piagam Madinah. Benda ini satu penipuan.

DAP bersetuju dengan Pas ini bukan kerana Islam tetapi kerana Pas itu sebuah parti. Ada beza antara Pas dengan Islam. Pas ini parti politik, Islam itu pegangan agama.

Sebab itulah pimpinan DAP selalu sebut mereka bersetuju dengan Pas ini bukan kerana Islam. Jelas di sini apa yang disebut Abdul Hadi dulu berbalik kepada beliau semula. Sebab itu ulama-ulama seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria melarang mengkafirkan orang kerana takut balik kepada kita. Pas sama ada sedar atau tidak, setuju atau tak setuju terjerat dalam isu ini.

Apakah gesaan saudara kepada ahli-ahli Pas agar dibuka minda dan pintu hati untuk melihat segala teguran ini secara terbuka?

ZAINON: Pertama sekali saya sebagai orang yang terlibat meminta sangat sama ada pemimpin mahu pun ahli-ahli Pas agar mereka bersifat terbuka. Setiap teguran daripada mana-mana pihak khususnya dalam konteks perpaduan ini demi kebaikan ummah.

Saya sendiri menegur ini atas kehendak peribadi saya tanpa dipaksa oleh sesiapa. Dulu saya dah tegur secara dalaman dalam kes Memali tapi dipandang sepi.

Jadi sekarang ini saya buat buku biar masyarakat tahu saya dah tegur pimpinan pas. Biar seluruh rakyat baca Kafirkah Aku? dan kemudian buat komen. Kalau ada pemimpin mahu pun ahli Pas tidak puas hati, saya sedia berjumpa dengan mereka pada bila-bila masa.

Kepada kepimpinan Pas, buatlah yang terbaik untuk ummah. Saya bukan mahu menghina ulama dalam Pas tapi terimalah pandangan pihak lain terutama ulama diluar Pas demi kepentingan ummah.




Wednesday, December 19, 2012

DEWA MAKSUM (Setaraf Nabi) PAS Rupanya Seorang PERASUAH Juga?

Nga dan Ngeh bersama Nik Aziz

Hot! TANAH 10,526 EKAR SEBAGAI SYARAT NIZAR JADI MENTERI BESAR PERAK ADALAH BENAR

Masihkah anda ingat sebaik saja kemenangan pakatan di Perak mereka mempunyai masaalah untuk melantik menteri besar.

DAP membantah pada waktu itu kerana wakil rakyat mereka tidak boleh menjadi calon Menteri Besar kerana undang-undang tubuh negeri menetapkan Menteri Besar Perak harus seorang yang beragama Islam.

Pada ketika itu Lim Kit Siang bermati-matian tidak mahu menyerahkan jawatan itu kepada PAS. Malah jawatankuasa eksekutif pusat DAP membantah tidak akan menerima PAS sebagai menteri besar memandangkan DAP menang DUN melebihi daripada PAS atau PKR.


Tak sampai 24 jam, tiba-tiba Lim Kit Siang, Nga Khor Meng dan juga Ngeh Kor Ham bersama Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP menerima Nizar sebagai Menteri Besar Perak.


Disinilah bermulanya episod PAS dan Nizar menjadi boneka DAP di Perak. Pada malam itu berlaku perbincangan peringkat tertinggi diantara PAS dan DAP.

DAP berkeras pada mulanya untuk tidak menerima Nizar sebagai Menteri Besar Perak, setelah berlaku campur tangan Nik Aziz dan PAS bersetuju menerima syarat syarat yang ditetapkan oleh DAP maka Nizar secara rasmi menjadi Menteri Besar Boneka DAP Perak.

Khabarnya sebahagian daripada rundingan tersebut yang mendapat reaksi serta merta oleh Ngeh dan Nga apabila Nik Aziz menawarkan sebidang tanah yang besar di Kelantan sebagai tukaran ganti membenarkan Nizar menjadi Menteri Besar.

Dalam isu ini, bukan saja DAP dengan perlantikan Ngeh dan Nga sebagai exco kanan untuk mengawal sepenuhnya Menteri Besar Perak malah mereka turut mendapat habuan daripada PAS apabila Nik Aziz memberi imbuhan tanah bernilai jutaan ringgit.

Ironinya selepas Kongres DAP di Pulau Pinang, Ngeh dan Nga dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat. Pisau menerima email daripada orang kuat DAP agar mendedahkan siapakah sebenarnya Ngeh dan Nga. Mereka terlibat dengan penyelewengan dan juga menerima rasuah daripada Nik Aziz Menteri Besar Kelantan untuk menerima Nizar sebagai Menteri Besar Perak pada ketika itu.

Modus operandinya mudah, Sebuah syarikat RM2 ditubuhkan Upayapadu Plantation Sdn Bhd. Kemudian Kerajaan negeri Kelantan menganugerahkan tanah kepada syarikat ini keatas 3 penama seperti tertera didokumen dibawah. Kemudian hak milik syarikat diambil alih oleh Ngeh, Nga dan kroni DAP.


Lokasi tanah tersebut di Relai, Daerah Chiku, Gua Musang. Kelantan. Bayangkan rakyat Kelantan sendiri tidak diberi tanah tetapi Nik Aziz dengan semudah itu merasuah 10,526 ekar bernilai lebih 30 juta ringgit kepada DAP.


Surat tuntutan yang dikeluarkan oleh Ngeh & Co adalah syarikat guaman milik Ngeh Koo Ham. Dibawah adalah dokumen selepas pertukaran nama yang telah selesai. Sekelip mata mereka memperolehi 10,526 ekar dengan nilai pasaran melebihi 30 juta ringgit.


Syarat untuk Nizar menjadi lembu kepada DAP cukup besar nilainya. Selain daripada menjadi lembu DAP, Nizar turut memberikan pulangan yang lumayan kepada Ngeh dan Nga. 11 bulan memerintah kerajaan Perak inilah hasilnya. PAS rasuah DAP, DAP perguna PAS. Yang kaya adalah pasangan bersaudara Ngeh dan Nga.

Hasil keberkatan sogokan tanah balak tersebut, selepas lebih kurang 11 bulan menjadi Menteri Besar Perak, Nizar mengadakan persidangan tergempar DUN dibawah sepohon pokok berhampiran dengan bangunan SUK negeri Perak ..

Catatan sejarah Malaysia - sidang Dewan Undangan Negeri diadakan dibawah pokok


Saturday, December 15, 2012

Persamaan BJ Habibie dengan Anwar Ibrahim — Zainudin Maidin

Habibie dan Anwar

Presiden Indonesia ketiga, Bacharuddin Jusuf Habibie yang mencatatkan sejarah sebagai Presiden Indonesia paling tersingkat, tersingkir kerana mengkhianati negaranya, telah menjadi tetamu kehormat kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Beliau diberikan penghormatan untuk memberi ceramah di Universiti Selangor (Unisel).

Beliau disingkirkan setelah menjadi Presiden Indonesia hanya selama 1 tahun 5 bulan kerana bersetuju dengan desakan Barat supaya mengadakan pungutan suara ke atas penduduk Timor Timur dalam Wilayah Indonesia menyebabkan Timor Timur terkeluar daripada Negara Kesatuan Republik Indonesia pada 30 Ogos 1999.

Beliau mengakhiri jawatan dalam kehinaan setelah menjadi presiden sejak 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999.

Beliau juga telah menyebabkan berlakunya perpecahan rakyat Indonesia kepada 48 parti politik yang mengakibatkan keadaan politik negara itu dalam porak-peranda hingga kini.

Adalah suatu hal yang agak menarik dan lucu bila Anwar Ibrahim dalam ucapan aluannya menimbulkan keupayaannya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan ketika Habibie menjadi Presiden Indonesia dapat menyelesaikan masalah Tenaga Kerja Indonesia (TKI).

Ia memberikan gambaran bahawa sekiranya kuasa dikembalikan semula kepada mereka maka pastinya akan dapat menyelesaikan semua masalah antara kedua-dua negara.

Barangkali ramai yang hadir di majlis pidato itu yang tidak tahu tentang sejarah Habibie telah terpesona dengan syarahan dan ceritanya, tetapi saya terpegun merenung persamaan watak, tugas dan nasib yang sama kedua-dua bekas pemimpin besar itu.

Habibie menjadi gunting dalam lipatan terhadap Presiden Indonesia Suharto walaupun Suharto yang membawanya kembali dari Jerman untuk kemudiannya menjadi wakil Presiden dan demikian juga yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim terhadap Tun Dr Mahahtir Mohamad ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri setelah “dipungut” daripada ABIM.

Bagaimana pun Habibie sempat menjadi Presiden dan mengkhianati bangsa dan negaranya setelah menjadi Presiden, tetapi Anwar mahu menyerahkan negara ini kepada IMF dan New Imperialis sebelum sempat menjadi Perdana Menteri. Allah telah menyelamatkan rakyat Malaysia.

Apakah tujuan Anwar menjemput “pengkhianat” bangsa Indonesia ini ke Malaysia. Dia tidak mempedulikan perasaan rakyat Indonesia kerana mungkin mereka telah sekata hendak menunjukkan kebesaran dan keagungan masa silam mereka untuk melindungi dosa besar mereka dan mungkin masing-masing berangan-angan bahawa zaman besar itu akan datang semula.

Kepada saya yang menjadi kenangan besar tentang Habibie ialah dia telah membuat tetamu termasuk Dr Mahathir terpaksa menunggu kedatangannya dari Jakarta lebih dari dua jam di IKIM Kuala Lumpur untuk mendengar ucapannya (ketika itu dia belum jadi presiden). Barangkali Dr Ismail Ibrahim, kekas Ketua Pengarah IKIM masih ingat peristiwa pahit ini.

Beliau sengaja melakukan ini untuk menunjukkan “aku lebih besar” dan ucapannya yang penuh dengan keegoan begitu panjang sehingga ke peringkat memualkan hadirin, tetapi Dr Mahathir tetap menunggu dengan setia.

Inilah jenis manusia yang dibawa oleh Anwar Ibrahim ke negara ini dari semasa ke semasa untuk membantunya dalam politik dan jemputannya kali ini pun untuk tujuan menunjukkan “kami berdua masih besar.”

Saya tidak tahu bagaimana terseksanya para hadirin di Unisel mendengar ucapan manusia yang egonya amat tinggi, apatahlah lagi mendapat peluang berucap kepada orang yang dianggap bodoh sesudah sekian lama tidak mendapat kesempatan berucap kepada rakyat Indonesia yang tidak lagi mahu mendengarnya dan tidak lagi menghormatinya.

Pada hakikatnya mereka berdua tidak lebih daripada “The Dog Of Imperialism”.

Tulisan : Zainudin Maidin


Sumber : Utusan Malaysia
10 Disember 2012