Merujuk kepada laporan media berhubung isu jumlah undi popular yang diperoleh parti-parti pembangkang, iaitu sebanyak 5,623,984 yang lebih tinggi daripada jumlah undi popular yang diperoleh parti BN, 5,237,699 yang mana mengikut dakwaan Anwar Ibrahim sepatutnya parti pembangkang boleh membentuk kerajaan, tetapi mengikut undang-undang pilihan raya di Malaysia parti BN yang telah disahkan menang dalam PRU Ke-13 dan layak untuk membentuk kerajaan di peringkat pusat.
Berhubung dengan kekeliruan ekoran dari dakwaan pihak Anwar Ibrahim itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ingin menjelaskan kepada rakyat bahawa di bawah sistem dan undang-undang pilihan raya yang diguna pakai di Malaysia, sejak pilihan raya umum pertama (1959) hingga Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13), adalah berlandaskan kepada sistem yang menentukan kemenangan mengikut majority mudah (simple majority) serta bersandarkan kepada perwakilan mengikut kawasan (Constituency Representation System) yang digunapakai sejak Pilihan Raya Umum pertama hingga PRU Ke-13.
Berasaskan kepada sistem tersebut, calon yang menang dalam pertandingan bagi sesuatu bahagian pilihan raya walaupun memperoleh majoriti satu undi, calon itu diisytiharkan sebagai calon yang dipilih (menang dalam pilihan raya). Berasaskan kepada asas yang sama, ia digunakan bagi menentukan parti yang berhak untuk menubuhkan kerajaan baik di peringkat pusat ataupun di peringkat negeri, iaitu parti yang mendapat jumlah perwakilan (kerusi) yang terbanyak walau pun memperoleh majoriti satu kerusi, berdasarkan kepada undang-undang parti berkenaan diisytiharkan menang dan berhak membentuk kerajaan.
Ini bermakna penentuan parti yang berhak membentuk kerajaan bukan berasas kepada jumlah undi popular, iaitu jumlah bilangan besar undi yang diperoleh. Dalam konteks ini, walaupun walaupun parti-parti pembangkang telah pun memperoleh jumlah besar undi sebanyak 5,623,984, mereka hanya berjaya memenangi 89 (kerusi) bahagian pilihan raya saja. Walaupun parti BN memperoleh jumlah besar undi 5,237,699, namun dari sudut jumlah bahagian pilihan raya BN telah memenangi sebanyak 133 (kerusi) bahagian pilihan raya di peringkat Parlimen dan berhak untuk membentuk kerajaan di peringkat pusat. Sistem pilihan raya tersebut itu di panggil sistem First Past The Post, iaitu calon yang memenangi kerusi terbanyak dan menjadi wakil rakyat bagi bahagian pilihan raya yang berkenaan sama ada bahagian Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
Penambahbaikan Proses Pilihan Raya Dalam PRU Ke-13
Berhubung dengan 8 perkara yang didakwa oleh Anwar, SPR perlu menjelaskan bahawa Daftar Pemilih yang digunakan dalam PRU Ke-13 merupakan Daftar Pemilih yang diwartakan dan telah melalui proses pembersihan yang terperinci melalui semakan online dengan rekod warganegara dan alamat terkini pemilih seperti yang terdapat dalam pangkalan data (data base) warganegara di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Daftar pemilih yang telah digunakan dalam PRU Ke-13 adalah daftar pemilih yang terbersih mungkin yang disediakan oleh SPR. Oleh kerana sistem pendaftaran pemilih menggunakan no.kad pengenalan 12 angka yang unik sebagai identifier pendaftaran, maka mustahil terdapat pendaftaran berganda dalam Daftar Pemilih PRU Ke-13.
Melalui sistem pendaftaran ini, tidak ada sesiapa yang bukan warganegara sama ada dia Bangladesh, Indonesia, China atau India, yang dapat mendaftar sebagai pengundi. Selain itu Daftar Pemilih yang digunakan dalam PRU Ke-13 adalah Daftar Pemilih yang sah dan diwartakan serta muktamad. Adalah mustahil untuk memasukkan nama- nama pengundi tambahan selepas sesuatu Daftar Pemilih itu diwartakan untuk tujuan pilihan raya. Oleh yang demikian andaian dan dakwaan kononnya terdapat 40 ribu warga Bangladesh yang diangkut untuk mengundi dalam PRU Ke-13 baru-baru ini adalah satu kenyataan yang tidak berasas dan fitnah semata-mata, kerana Daftar Pemilih yang diwartakan itu adalah muktamad.
Dalam PRU Ke-13 juga, SPR telah melaksanakan proses Pengundian Awal bagi anggota polis dan tentera serta pasangan. Proses Pengundian Awal adalah sebagai menggantikan proses pengundian secara pos yang dilaksanakan bagi golongan kategori pengundi tersebut. Dalam PRU Ke-13, urusan Pengundian Awal telah dijalankan pada 30 April 2013 yang melibatkan seramai 235,826 pengundi golongan anggota polis dan tentera serta pasangan.
Selaras dengan tuntutan utama yang dibuat oleh parti-parti politik pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan tertentu dakwat kekal juga telah digunakan dalam PRU Ke-13. SPR ingin menegaskan bahawa, penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya adalah hanya sebagai elemen tambahan kepada prosedur pengundian bagi mengelakkansebarang percubaan untuk mengundi dua kali oleh mana-mana pengundi yang tidak bertanggungjawab. Berdasarkan kepada undang-undang pilihan raya, asas utama untuk menyemak identiti pengundi dan kaedah memastikan pengundi tidak dapat mengundi lebih dari sekali ialah senarai nama di dalam Daftar Pemilih yang diguna pakai di setiap Saluran/Tempat Mengundi pada Hari Pengundian. Jika nama seseorang itu tidak terdapat dalam Daftar Pemilih atau namanya telah dipotong kerana telah mengundi, pengundi itu tidak akan dapat mengundi lebih dari sekali. Ini bermakna pengundian berganda tidak akan berlaku dalam proses pengundian di negara ini.
Tempoh rasmi kempen selama 15 hari telah ditetapkan untuk parti-parti politik berkempen dalam PRU Ke-13, iaitu dari 20 April hingga 5 Mei. Oleh yang demikian, dakwaan oleh Anwar Ibrahim yang menuduh SPR tidak melaksanakan apa-apa penambahbaikan dalam PRU Ke-13 merupakan satu pembohongan yang besar untuk mengelirukan rakyat serta fitnah semata-mata.
Sekian dan terima kasih.
(TAN SRI DATO’ SERI ABDUL AZIZ BIN MOHD YUSOF)
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
10 Mei 2013