PAGI itu resah YB Josephine, yang lebih mesra dengan panggilan YB J
sukar dikawal. Sepanjang perjalanan menuju ke Dewan Perhimpunan Warga
Cha di ibu kota, fikirannya terganggu. Tuduhan bahawa dia anti-Islam dan
anti-Melayu sungguh-sungguh menghantui perasaannya sejak malam tadi
lagi. Entah mengapa baru sekarang dia begitu, dia sendiri tidak tahu.
Dia juga tidak pasti sama ada pemandunya, Ahmad, menyedari gelora
jiwanya ketika itu. Kalau dia tahu pun, peduli apa, YB Josephine
berbisik sendirian.
Pemandu itu memang sedia maklum pendirian politiknya tentang
kepentingan kaumnya vis a vis orang Melayu. Dan dia tahu Ahmad
menghormati pendiriannya, walaupun dilihat anti- Melayu, anti-Islam
sebagai hak asasi tinggal dalam sebuah negara demokrasi. Bukankah
kebebasan asasi itu dijamin oleh Perkara 5 hingga Perkara 13
Perlembagaan Persekutuan. Tetapi YB J akui demokrasi ada yang tidak
sempurna dan kerap disalahgunakan oleh pihak yang berkuasa. Tetapi
hakikat itu tidak menghalang rakyat menempatkan pembangkang di Dewan
Rakyat. YB Josephine adalah salah seorang daripadanya.
Ah, tuduhan dia anti-Islam, anti-Melayu tuduhan yang melulu bentak
YB J seolah-olah mahu menyedapkan dirinya.. Ia juga tuduhan yang tidak
berasas, hati kecilnya bersuara lagi. Dia meyakinkan dirinya bahawa
kenyataankenyataan yang dibuatnya atas nama pelbagai kaum untuk
memperjuangkan kepentingan kaumnya, bukan sesuatu yang rasis. Amensty
International, organisasi hak asasi antarabangsa akan menyetujuinya.
Begitu juga dengan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ketua Pembangkang, di Parlimen
pun tidak pernah menganggapnya rasis. Yang menganggapnya rasis hanya
orang Melayu di dalam Parti Orang Melayu (POM).
Aku juga bukan anti-Islam. Aku bukan anti Melayu, pujuk hati YB J
yang sudah dua penggal bergelar YB itu, mewakili Parti Bertindak Rakyat.
Parti itu dianggotainya sejak berada di kampus lagi, walaupun Akta
Universiti dan Kolej Universiti melarang para siswa membabitkan diri
secara langsung dalam mana-mana organisasi siasah. Lagi pun
penguatkuasaan undang-undang itu sekadar melepas batuk di tangga. Lebih
dari itu, ia adalah satu lagi undang-undang lapuk, kata YB J.
Kata hatinya lagi: Aku sekadar memperjuangkan kepentingan kaum aku,
sama seperti pemimpin Melayu dalam POM memperjuangkan kepentingan
bangsanya, sama seperti pemimpin Parti Orang Islam (POI) berjuang untuk
bangsa menggunakan wajah Islamnya.
Malah YB J berasakan kelantangannya memperjuangkan kepentingan
kaumnya itulah yang telah membantunya menang kali kedua kerusi
Parlimennya. Kali ini dengan majoriti yang lebih besar lagi. Apa yang
membanggakan dia adalah perjuangan yang dianggap anti-Melayu dan
anti-Islam itu kini turut disokong pengundi-pengundi Melayu di kawasan
pilihan rayanya itu. Pada mulanya dia sendiri terkejut apabila
dimaklumkan sebahagian besar pengundi Melayu yang merupakan 20 peratus
keseluruhan pemilihan berdaftar dalam kawasan Parlimen Alam Maya telah
memangkahnya.
Ini satu perkembangan luar biasa. Tidak mungkin mereka menyokong aku,
bisik hatinya. Tetapi apabila dimaklumkan oleh para pekerja parti
bahawa pengundi Melayu di semua peti undi telah beralih arah
mendokongnya, dia menerimanya dengan fikiran terbuka. Baguslah kalau
orang Melayu menerima perjuangan Malaysia Barunya.
Tidak puas hati bermonolog dengan perasaannya, YB J secara spontan
berpaling kepada Ahmad, pemandunya yang sejak tadi tekun dengan
tugasnya.
"Kamu fikir saya anti-Islam, anti-Melayu?"
Pertanyaan
Ahmad yang sudah menghampiri usia bersara itu tidak menjawab,
seolah-olah dia tidak mendengar pertanyaan itu. Matanya tertumpu ke
jalan raya. Tugasnya adalah untuk mempastikan YB J selamat ke majlis
yang ingin dihadirinya. Dan tiba tepat pada waktunya. Majlis itu
penting kerana YB J akan mengadakan dialog dengan generasi muda
seketurunan dengannya yang belajar di luar negara tetapi kebetulan
berada di tanah air kerana bercuti. Ahmad sendiri tidak pasti sama ada
pelajar yang pernah mempersendakan lagu Negara Ku sewaktu menuntut di
sebuah universiti di Seberang Laut turut berada dalam kelompok itu.
Kalau pun ada, pemandu YB J tidak ambil pusing. Budak itu memang kurang
ajar. Ada ke patut Malaysia dianggap sebagai Negara Kuku (ejaan
Inggerisnya cuckoo) yang bermaksud gila. Dan kreativiti digunakan untuk
menghalalkan perbuatan biadapnya itu. Cuma Ahmad berfikir kalau semua
orang dibiarkan menghina lagu Kebangsaan dengan lirik yang
memperlekehkan kehidupan orang Islam, dan atas nama kreativiti, maka
kesannya terhadap perhubungan kaum adalah negatif.
Ahmad tidak tahu apakah yang sebenarnya mengganggu bosnya itu sejak
dari tadi lagi. Dia jarang begitu. Ahmad dapat mengesan YB J lain macam
sahaja pagi itu. Dia dapat membaca keresahan dan kegelisahan YB J.
Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena walaupun apa yang sebenarnya
berkocak di dalam diri YB J dia tidak pasti. Sepanjang ingatan Ahmad, YB
J juga tidak pernah berbual dengannya tentang politik, apa lagi tentang
isu-isu semasa - kecuali memberi arahan yang ada kaitan dengan
perjalanan atau jadual kerja. YB J juga tidak bertanya sama ada dia
mengundi pom atau parti apa pada pilihan raya yang lalu.
Lazimnya, sepanjang perjalanan, baik ke pejabat atau majlis-majlis
rasmi dan tidak rasmi yang lain, YB J akan menghabiskan masa membaca
akhbar atau membelek-belek fail. Tetapi pagi itu YB J lain macam sahaja.
Dia kelihatan resah. Gelisah. Fikirannya juga seolah-olah tidak
menentu. Apa yang dibuat serba tak kena. Sekejap dia membelek ucapan
utama yang akan disampaikan sebentar lagi menghuraikan gagasan Politik
Baru Malaysia Baru yang dipeloporinya. Sekejap dia membelek
akhbar-akhbar yang memang menemani YB J ke mana juga dia pergi.
Ahmad cuba mencongak mungkin keresahan YB J ada kaitan dengan suhu
politik negara sedang panas ketika itu. Bahangnya terasa di mana-mana.
POM sendiri sedang menghadapi pergolakan yang hebat berkait dengan
kepimpinannya. Pertarungan kepentingan puak-puak di dalam parti sedang
mengambil tempatnya. Kalaulah tidak kerana kedudukan politik kerajaan
agak lemah selepas kehilangan majoriti dua pertiga, sudah lama Operasi
Lalang, seperti yang pernah dibuat pada 1987, dilaksanakan, agaknya.
Mungkin juga tidak kerana di bawah kepimpinan sekarang, kerajaan
mengambil sikap yang lebih liberal terhadap para pengkritiknya.
Ahmad juga terfikir mungkin perasaan YB J terganggu dengan tindakan
kalangan yang tidak diketahui siapa mereka melempar bom petrol ke rumah
keluarga ahli Parlimen Sepohon Beringin, Su Lan. Barangkali, fikir
Ahmad, YB J, bimbang kejadian yang sama boleh menimpa diri atau
keluarganya.
Mana tahu selepas keluarga Su Lan, bosnya YB J pula yang menjadi
mangsa. Dan yang dilempar itu bom betul-betul. Meletup pula. Tidakkah
nahas YB J. Sekonyong-konyong Ahmad terbayang kejadian letupan bom
berani mati yang berlaku di Damsyik, Syria yang ditonton menerusi
Buletin Utama di TV3 beberapa hari lalu. Kalau kejadian yang sudah
menghiasi kehidupan harian di Iraq, Israel, Tebing Barat, Gaza atau
Afghanistan itu menular di negara ini, alangkah malangnya bumi bertuah
ini. Minta disimpang malaikat 44, Ahmad berkata sendirian di dalam
hatinya.
Tetapi fikir Ahmad, amaran kalau tidak diendahkan berbahaya. Dia
teringat apa yang diceritakan berlaku pada 13 Mei 1969. Bapanya
menceritakan dalam tragedi selepas pilihan raya umum pada 10 Mei itu,
orang Cina dan Melayu berbunuh-bunuhan. Perjuangan yang mahu menafikan
hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera lain yang dijamin oleh
Perlembagaan Persekutuan, tidak dapat diterima oleh mereka. Kata-kata
kesat dan menghina orang Melayu oleh para penyokong parti-parti
pembangkang sewaktu berarak meraikan kemenangan besar di Kuala Lumpur
dan bandar-bandar utama lain pada pilihan raya 1969 itu tidak dapat
ditelan oleh orang Melayu. Parang yang terbiar tumpul selama ini diasah
tajam. Dalam keadaan itu tercetuslah pergaduhan yang dahsyat menyebabkan
Parlimen digantung dan pemerintahan darurat diisytiharkan. Negara
diletakkan di bawah perintah berkurung. Ahmad sendiri belum lahir ketika
itu. Tidak lama selepas itu, peralihan kuasa berlaku daripada Tunku
Abdul Rahman kepada timbalannya, Tun Abdul Razak.
"Mat, saya ni anti-Melayu dan anti-Islam ke?", YB J secara mendadak
mengulang semula pertanyaannya apabila tiada jawapan daripada
pemandunya.
Ahmad, yang sejak tadi membisu seribu bahasa selamba menjawab:
"Mungkin tidak YB". Dia memberi jawapan berlapik. Maksudnya: Mungkin
tidak, mungkin ya bergantung pada mata yang menilai.
"Apa maksud kamu mungkin tidak".
"Ini soal persepsi YB. Persepsinya begitulah. Hakikatnya YB tidak
membenci Melayu tidak juga membenci Islam. YB sekadar memperjuangkan
kepentingan kaum YB. Tidak salah YB berbuat demikian. Kalau YB tidak
memperjuangkan kepentingan kaum YB sendiri, siapa lagi. Tetapi cara YB
itu barangkali disalahertikannya".
"Maksud kamu?" Tanya YB J yang masih belum jelas lagi.
Bergantung
"Yalah, ia bergantung pada mata yang memandang. Bukan sahaja di
kalangan orang Melayu, tetapi di kalangan bukan Melayu. YB kena ingat di
kalangan bukan Melayu pun bukan semuanya menerima politik baru Malaysia
baru YB. Kalau tidak masakan parti satu kaum seperti Parti Orang Cina
(POC) masih boleh bertahan".
"Apa maksud kamu. Saya tidak begitu jelas?"
"Yalah bagi YB perjuangan YB adalah pelbagai kaum. Tetapi dalam
tindak tanduk, perjuangan pelbagai kaum YB itu tidak tertonjol. YB mahu
menghapuskan tulisan jawi dan ganti dengan tulisan Cina . Bagi mereka
itu bukan perjuangan pelbagai kaum. Ia perjuangan satu kaum. Kalau benar
pelbagai kaum, YB patut mempertahankan tulisan jawi". Ahmad
memberanikan diri untuk memberikan pandangannya.
Mengesan bosnya ingin mendengar pandangannya lagi, Ahmad berkata:
"Patutnya kalau YB benar-benar ingin menjadi pejuang pelbagai kaum,
kepentingan orang Melayu jangan diketepikan sewaktu mengetengahkan
kepentingan kaum Cina. YB perjuangkan kepentingan kedua-duanya sekali. Penerimaannya saya pasti berbeza. YB akan dilihat sebagai mahu menjaga
kepentingan kaum YB, tetapi pada waktu yang sama tidak menafikan hak
orang Melayu".
Itu perjuangan POM dan POC, dengus YB J di dalam hatinya. Bosan aku
dengan Si Ahmad ini, dia berkata sendirian. Aku penganjur politik baru
dan tidak mahu terikat dengan kerangka politik lama, katanya lagi kepada
dirinya.
Perbualan YB J dengan pemandunya habis di situ sahaja. Dia tidak mahu
lagi mendengar pandangan karut pemandunya. Dia mahu terus melayan
perasaan: Aku percaya pada Politik Baru Malaysia Baru, tegas YB J pada
dirinya. Setiap warganegara, tanpa mengira apa keturunan mereka patut
diberi hak yang sama mengikut undang-undang. Tidak ada bangsa yang patut
diberi layanan istimewa. Tidak ada warga yang patut diberi darjat atau
kelas kedua. Kita semua orang Malaysia.
YB J enggan melayan Ahmad lagi. Sebaliknya, dia membelek akhbar
Utusan Malaysia yang secara rasmi diboikot oleh partinya. Perhatiannya
tertumpu pada artikel berjudul Jangan Padam Rekod Negara yang ditulis
oleh seorang generasi muda Cina yang menolak tesis politik baru Malaysia
baru.
Ah, satu lagi propaganda yang memperlekehkan kaum aku, dengus hati YB J. Jangan-jangan yang menulis artikel ini orang Melayu. Mereka masih menganggap
kaum aku sebagai berketurunan pendatang. Tidak guna punya generasi
baru. Dengus YB J. Bisik hatinya lagi: Betullah dulu nenek moyang aku
berhijrah ke bumi bertuah ini untuk mencari kekayaan, membebaskan diri
mereka daripada kemiskinan dan keperitan hidup di China. Itu dulu.
Generasi Cina sekarang sudah menjadi warganegara Malaysia dan mereka
hendaklah dilayan seperti warganegara Malaysia..
Dikejutkan
Sedang YB J asyik dengan lamunannya, dia dikejutkan dengan suara pemandunya yang memaklumkan, Kita sudah sampai YB.
Menunggu dia di luar ialah para penganjur dialog yang bakal
berlangsung. Salah seorang daripada mereka membuka pintu kereta YB J,
bersalaman dengannya dan memperkenalkannya dengan ahli jawatankuasa
penganjur yang lain. Diiringi oleh mereka, YB J dibawa ke pentas.
Menurut kiraannya ada 500 orang di dalam dewan pagi itu. Dia bangga
dengan kehadiran begitu ramai anak bangsanya yang ingin bertemu
dengannya. Apa yang lebih membanggakan YB J ialah mereka belajar luar
negara dengan biayai sendiri, bukannya bantuan kerajaan.
Selepas ucapan-ucapan aluan oleh pengerusi penganjur selesai, YB J
dijemput untuk memberi ucapannya. Inilah detik-detik yang
ditunggu-tunggu oleh YB J. Gagasan politik baru Malaysia barunya akan
dihebahkan kepada dunia bebas. Dia teringat buku Kee Thuan Chye yang
berjudul 8 Mac The Day Malaysian Woke Up. Momentum rakyat Malaysia atau
lebih tepat lagi warga bukan Melayu Malaysia yang sudah jaga dari lena
itu mesti ditingkatkan. Pagi itu dia berazam untuk berbuat demikian.
Tetapi tanpa diketahui oleh YB J, di kalangan 500 orang generasi
muda yang hadir pada pagi itu ada yang tidak setuju dengan pandangan
politiknya itu. Salah seorang daripada mereka berazam untuk membetulkan
penyimpangan politik YB J dengan caranya yang tersendiri.
Apabila YB J bangun untuk menuju ke rostrum ucapan, seorang anak
muda dari belakang pentas berjalan tenang menuju ke arahnya. YB J
tersenyum kepadanya. Dia menyangka anak muda seketurunan dengannya ingin
mengiringinya ke rostrum atau bersalaman dengannya.
YB J menghulurkan tangan. Tiba-tiba YB J tergaman dan berdiri kaku.
Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tergenggam erat pada
tangan anak muda yang seolah-olah mahu membalas salam tangan yang
dihulur itu ialah sepucuk pistol jenis Revolver yang betul-betul
diajukan ke arah dada YB J.
Tanpa berkata apa-apa, anak muda itu melepaskan beberapa das
tembakan. Salah satu daripadanya tepat mengenai jantung YB J. Dia rebah
ke lantai.
Para hadirin menjadi panik. Mereka yang berada di atas pentas turut
tergamam melihat apa yang berlaku. Kejadian menjadi hiruk-pikuk dan
tidak terkawal. Pihak penganjur yang tidak menduga kejadian malang itu
berlaku, tidak tahu berbuat apa-apa. Beberapa orang anggota polis
berpakaian preman yang menjadi tetamu yang tidak diundang dalam majlis
itu, meluru ke arah pentas. Rakan-rakan mereka yang berpakaian seragam
yang berkawal di luar juga bergegas masuk ke dewan.
Tetapi belum sempat mereka berbuat apa-apa, kedengaran beberapa das
tembakan lagi. Kali ini yang rebah adalah anak muda itu sendiri.
Apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, kedua-dua mereka - YB J
dan anak muda yang berpakaian kemas itu, sudah tidak lagi bernyawa.
Sewaktu pemeriksaan dibuat ke atas mayat anak muda yang tidak
dikenali itu, terselit sehelai nota yang ditaip rapi, ditulis dalam
bahasa Kebangsaan.
Ia berbunyi: YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih
baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh
tinggal aman damai di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk masa
depan.