"MEMAKMUR EKONOMI YANG INKLUSIF, MENGIMBANG KEUNGGULAN DUNIAWI DAN UKHRAWI, DEMI MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT, MENUJU ASPIRASI TN50"
Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2018 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua.
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2018 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua.
Bismillahirahmanirrahim.
1. Sesungguhnya Kami Bernaik Saksi Bahawa, Tiada Tuhan yang Selayaknya
Disembah Melainkan Allah yakni Dia, serta para MalaikatNya, yang
berSelawat ke atas Nabi Junjungan. Seraya, diseru ke atas orang-orang
yang beriman mengucapkan; Allahumma Solli 'Ala Saidina Muhammad, Wa 'ala Aali Saidina Muhammad.
2. Begitu juga kepada Tuan Yang Dipertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta seluruh Rakyat Malaysia sekalian, dari
penjuru utara Perlis, hingga kepenghujung Benua Asia di Tanjung Piai,
membawa nun jauh di Sabah, Negeri di Bawah Bayu dan di Sarawak, Bumi
Kenyalang, diucapkan Salam Sejahtera, Salam Negaraku, dan Salam
1Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,
Tuan Yang Dipertua,
3. Pastinya pada tahun lalu, kita maklum tentang ramai yang telah meneka-neka bahawa, Bajet 2017 itu adalah Bajet Pilihanraya.
4. Memanglah, tidak dinafikan, kerana sekian banyak inisiatif dan
sekian banyak peruntukan, telah diumumkan demi keperluan rakyat serta
kepentingan negara. Namun nampaknya, ramalan itu setakat tahun lepas, menjadi hampa dan tidak benar belaka.
5. Lalunya, Tuan Yang Dipertua, kalau minggu lalu, kawan-kawan daripada
masyarakat India baru saja menyambut Perayaan Cahaya Deepavali, kita
ucapkan sekali lagi bersama-sama Deepavali Valthukal, Maka, pada
Jumaat penghulu segala hari ini, seperti para cerdik pandai juga
menyatakan boleh disambut sebagai Hari Lebaran yang riang dan ceria.
6. Jadinya, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama untuk
merayakan imbuhan-imbuhan, buah-buah tangan dan pemberian-pemberian yang
akan dibentang-bentang dan dihidang-hidang sepanjang persembahan Bajet
ini. Dengan satu syarat, Syaratnya apa? syaratnya saya nak khabor
pada semua, bak kata orang Pekan, maaf cakap, kalau boleh, moleklah
mendengor dari mula, sampailah kepenghujung ucapan.
7. Maksud saya, berdiri saya pada petang Jumaat yang mulia bertarikh 27
Oktober ini, bersamaan dengan 7 haribulan Safar 1439 Hijriah, adalah,
tidak lain dan tidak bukan, untuk membawa khabar-khabar yang lebih riang
dan gembira, yang bakal menguntum serta menyimpul senyum-senyuman di
wajah semua.
8. Yang terpaling mustahak adalah untuk dinikmati oleh seluruh rakyat
Malaysia tercinta, tidak kira apa jua kaum, apa jua bangsa, dan apa
jua latar keturunan.
9. Tuan Yang Dipertua, ternyata, yang ditunggu-tunggu, buahnya pun baru
saja masak dan baru saja meranum, hatta, kalau tidak dipetik pun pada
petang yang berbahagia ini, ia akan tetap gugur, dan akan tetap luruh,
satu persatu, sebagai sebahagian rezeki yang dilimpahi rendang dan
merimbunnya Pepohon Malaysia.
10. Jadinya, marilah kita sama-sama menghayati dan meneliti dahulu, apa
yang akan saya, bagi pihak Kerajaan ingin sajikan, jika tidak, bagi
mereka yang terburu-buru, sebagai memetik kata ulamak dan cerdik
pandai, sesungguhnya tergolonglah dalam kumpulan orang-orang yang
merugi.
Tuan Yang Dipertua,
Tuan Yang Dipertua,
11. Sayang seribu kali sayang, dalam pada kita ingin membina peradaban
santun susila di antara satu sama lain, sampai hati, dan, tergamak
sungguh ‘Orang Itu’ memaki, mencerca etnik bangsa dari keturunan Bugis.
Tapi, tak mengapalah, apa yang penting, kita wajar terus berjiwa
besar, bak kata seloka dalam loghat Utara: orang Kedah semua baik-baik
dan ramah-ramah, cuma seorang dua saja, yang mudah lupa diri. Kerajaan
BN ini ikhlas, kerja untuk negara dan ummah, inilah dia Bajet yang kita
semua nanti-nanti.
Prestasi Dan Cabaran Ekonomi
Tuan Yang Dipertua, serta rakyat Malaysia sekalian,
12. Pertama-tamanya, kita wajib merafakkan rasa syukur
setinggi-tingginya ke hadrat Allah S.W.T kerana ekonomi negara terus
berkembang dengan POSITIF.
13. Pada separuh tahun pertama 2017, ia mencatatkan satu pertumbuhan yang sungguh memberangsangkan pada kadar 5.7 peratus.
14. Makanya, janganlah mudah termakan dengan tipu daya serta dakyah yang
tidak henti-henti terutamanya di media sosial, oleh pelbagai pihak
yang tidak bertanggungjawab bahawa kononnya, Bank Dunia telah
mengeluarkan laporan-laporan negatif tertentu terhadap ekonomi negara
kita.
15. Hakikatnya, perkara itu adalah tidak benar sama sekali, kerana
realitinya baru saja tiga minggu lepas, pihak Bank Dunia telah membuat
semakan yang lazim, merangkumi Asia Timur dan Pasifik.
16. Hasil daripada semakan itu, sekali lagi, yang terpaling
mustahak, Badan Kewangan Antarabangsa Tertinggi dunia itu telah
menzahirkan keyakinan terhadap prestasi ekonomi kita, dengan memberi
puji-pujian kepada dasar-dasar negara, seraya menaikkan unjuran KDNK
Malaysia, daripada 4.9 kepada 5.2 peratus bagi tahun 2017.
Ada bersama kita hadirin sekalian, pada petang ini, beberapa wakil daripada Bank Negara Malaysia dan World Bank.
17. Selanjutnya, Kerajaan pula mengunjurkan ekonomi Malaysia bakal
mencapai kadar pertumbuhan tahunan antara 5.2 hingga 5.7 peratus pada
2017, yakni lebih tinggi daripada unjuran pada bulan Mac lalu iaitu 4.3
hingga 4.8 peratus.
Tuan Yang Dipertua,
18. Sesungguhnya lagi, selama 60 tahun negara ini mencapai kemerdekaan,
pada Bajet yang ke-59 dan kali ke-9 saya bentangkan bagi pihak Kerajaan
ini, dengan penuh rasa syukur serta tawadhuk, ingin dinyatakan bahawa,
sepanjang tempoh lapan tahun yang lalu, di sebalik pelbagai kerencaman
dan cabaran ekonomi, Malaysia telah mampu membuktikan, dua aspek yang
amat penting dan dapatlah disimpulkan sebagai:
Pertamanya: Kita telah mencapai prestasi hubungan dagang dan
diplomasi pada tahap paling baik dan paling matang dalam lingkungan
masa serentak dengan kuasa-kuasa besar ekonomi dunia seperti China,
India, Arab Saudi dan Amerika Syarikat. Sesungguhnya, tidak pernah
seumpamanya seperti ini dalam sejarah, sehinggakan 'the actual private
investment' untuk 2016 sahaja, melebihi 211 bilion ringgit.
Dibandingkan pada tahun 2009, jumlah pelaburan swasta sebenar hanyalah
81 bilion ringgit. Oleh sebab itu, seandainya saya dan rakan-rakan
anggota kabinet mengadakan lawatan rasmi ke luar negara, janganlah
sewenang-wenangnya sesiapa pun menuduh bahawa, kita hendak menggadaikan
kedaulatan Tanah Air. Hah…!!!
Baru-baru ini, saya mendapat khabar berita, katanya, YAB Menteri Besar
Selangor, merangkap Ahli Parlimen Gombak sendiri, telah pun berkunjung
ke Tanah Besar China. Kita nak tanya YB Gombak, Nak jual Selangor ke?
Demikianlah kata orang, berhati-hatilah kalau mahu meludah ke langit,
takut-takut nanti, ia jatuh setepek, terpalit ke muka sendiri. Tuan
Yang Dipertua, itu belum lagi dikira lawatan-lawatan keluar negara yang
dibuat oleh YB Bagan, juga YAB Ketua Menteri Pulau Pinang. Itupun kira
macam mana, kita kira macam mana, nak jual negeri juga ke?
Keduanya: Tuan Yang Dipertua, sejak tahun 2009, meskipun berdepan
dengan pelbagai cabaran yang kebanyakannya di luar kawalan kita,
seperti harga minyak dunia yang jatuh merudum, faktor geopolitik
antarabangsa yang bergolak dan masih tidak menentu, akan tetapi,
Alhamdulillah, kita terus kekal mampu menguruskan kewangan negara,
dengan mengamalkan tadbir urus yang cekap serta disiplin fiskal yang
begitu berhemah.
Menoleh ke tahun 2009, defisit fiskal kita berada pada kadar 6.7 peratus
daripada KDNK. Dengan perancangan dan perencanaan serta inisiatif yang
teratur lagi sistematik, syukur kepada Allah S.W.T., defisit fiskal
negara dianggar terus berkurang kepada 3 peratus pada 2017, dan kita
yakin pada tahun 2018 akan menurun lagi kepada 2.8 peratus.
Impaknya sungguh jelas, baru-baru ini, tiga agensi penarafan kredit
antarabangsa yang berwibawa, telah mengekalkan kredit Malaysia pada
penarafan ‘A-’ dengan prospek yang stabil.
Bayangkan, bayangkanlah, seandainya kerajaan ini, tidak mengambil
langkah-langkah bijak lagi proaktif untuk menguruskan perbelanjaan
negara, terutamanya ketika harga minyak dunia jatuh mendadak, paras
defisit fiskal dan hutang akan meningkat sekaligus menjejaskan penarafan
kredit negara, kemungkinan besar kita boleh terjerumus ke kancah
kegawatan ekonomi.
Sekiranya itu berlaku, ia boleh mengakibatkan kenaikan kos pinjaman
peribadi dan komersial, keyakinan pelabur pun terjejas, serta mengundang
ketidakstabilan pasaran kewangan.
Tuan Yang Dipertua,
19. Makanya, bagai disyair orang dulu-dulu, kalau buruk yang kita minta,
maka buruklah jadinya; kerana itu, kalau elok kita usaha dan minta,
maka moleklah hasilnya.
20. Justeru, walau sekali apa pun cabaran, halangan dan pancaroba yang
datang merintang, kita perlu terus mengekalkan momentum dan dinamika
kepesatan ekonomi negara.
21. Kerana itulah, pegangan pentadbiran Kerajaan ini sejak mula-mula
saya mengambil alih tampuk kepimpinan, telah diperkenalkan Program
Transformasi Negara yang inklusif, di bawah lembayung Dasar Transformasi
Nasional atau DTN, yang amat menitikberatkan tentang aspek kualiti,
sistem penyampaian perkhidmatan yang berkesan, khususnya, dalam
merancakkan pertumbuhan ekonomi.
22. Di bawah DTN ini juga, terkandung antara lain, Model Ekonomi Baru,
yang selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-10 dan Rancangan Malaysia
Ke-11.
Tuan yang Dipertua,
23. Maka, tidak salah lagi sejak 2009, ketika mana melihatkan keadaan
sosio-ekonomi negara ketika itu, saya selaku Perdana Menteri telah
membuat keputusan yang amat sukar, dengan meletakkan inisiatif ekonomi
sebagai Fokus Utama kepada Kerajaan yang saya pimpini, sehinggakan
agenda dan program Transformasi yang lain disusun-atur menurut keutamaan
dan dikemudiankan dahulu, termasuklah Program Transformasi Politik.
24. Justeru, mana mungkin orang mempertikai bahawa kita tidak mempunyai
polisi ekonomi yang kukuh? Ternyata, kesemua usaha yang telah diambil
oleh Kerajaan sepanjang lapan tahun yang lalu, telah membuahkan
hasil-hasil, antaranya:
Pertama: Sasaran 3.3 juta peluang pekerjaan baharu menjelang 2020
setakat ini, sudah pun mencapai angka 69 peratus dengan 2.26 juta
pekerjaan diwujudkan;
Kedua: Pada bulan Ogos ini sahaja, eksport negara buat pertama
kalinya telah mencapai antara paras tertinggi, dengan nilaian melebihi
80 bilion ringgit dan merekodkan double digit growth; dan
Ketiga: Rizab antarabangsa terkini pula, telah mencatat
101.4 bilion dolar Amerika atau 428.7 bilion ringgit yang mampu
menampung 7.5 bulan import tertangguh.
Sedangkan pada tahun 1997, ketika berlakunya kegawatan ekonomi Asia,
rizab negara hanyalah 21.7 bilion dolar Amerika atau bersamaan 59.1
bilion ringgit, nah, kalau rizab serendah 21.7 bilion dolar
Amerika pun tidak bankrap, itu pun, kita belum tolak 31 bilion ringgit yang entah ke mana ...,
apatah lagi rizab sekarang setinggi 101.4 bilion dolar Amerika.
Tuan Yang Dipertua,
25. Bukan setakat itu sahaja, melalui Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi
Rumah dan Keperluan Asas 2016, menyaksikan, kita telah meraih sekian
banyak pencapaian, antaranya:
Pertama: Pendapatan per kapita rakyat daripada 27,819 ringgit
pada tahun 2010, kini telah meningkat kepada 40,713 ringgit, dan
dijangka mencapai 42,777 ringgit menjelang 2018;
Kedua: Pendapatan median bulanan pula, telah meningkat daripada 4,585 ringgit, pada tahun 2014 kepada 5,288 ringgit pada tahun 2016;
Ketiga: Bagi pendapatan isi rumah B40 pula, daripada tempoh 2014
hingga 2016, telah meningkat daripada 2,629 ringgit kepada 3,000 ringgit
sebulan; dan
Keempat: Agihan pendapatan dalam kalangan isi rumah Malaysia
terus bertambah baik dengan penurunan Pekali Gini daripada 0.441 pada
tahun 2009, kepada 0.399 pada tahun 2016, 'the lowest in the history of
Malaysia'. Ini bermakna jurang pendapatan semakin dirapatkan, dan kita
menuju masyarakat yang pengagihannya lebih saksama.
PERUNTUKAN BAJET 2018
Tuan Yang Dipertua,
26. Demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat, maka Bajet 2018 akan
memperuntukkan sejumlah 280.25 bilion ringgit, menyaksikan pertambahan
peruntukan, berbanding 260.8 bilion ringgit peruntukan Bajet 2017 yang
dibentangkan.
27. Daripada jumlah tersebut, 234.25 bilion ringgit adalah bagi
perbelanjaan mengurus, dan 46 bilion ringgit lagi bagi perbelanjaan
pembangunan. Ini tidak termasuk simpanan luar jangka 2 bilion ringgit.
28. Di bawah peruntukan mengurus, 79.15 bilion ringgit adalah untuk
Emolumen dan 33.62 bilion ringgit untuk Perkhidmatan dan Bekalan.
29. Manakala, sebanyak 119.82 bilion ringgit lagi, adalah untuk
Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Perbelanjaan lain pula,
diperuntukkan 1.08 bilion ringgit, dan 577 juta ringgit untuk pembelian
aset.
30. Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan
tertinggi sebanyak 26.34 bilion ringgit. Sektor sosial menerima sejumlah
11.72 bilion ringgit. Manakala, sektor keselamatan diperuntukkan 5.22
bilion ringgit, dan sektor pentadbiran am sebanyak 2.72 bilion ringgit.
31. Bagi tahun 2018, dengan izin Allah, kita menjangkakan, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan mencecah 239.86 bilion ringgit.
32. Apa yang penting, Kerajaan tetap komited untuk melaksanakan langkah
konsolidasi fiskal dan mempastikan kedudukan kewangan Kerajaan terus
kukuh serta paras hutang kekal rendah bagi tempoh jangka sederhana dan
panjang.
Tuan Yang Dipertua,
33. Pastinya semua dapat mengagak, bajet yang digubal ini adalah yang
paling penting kerana, ia merupakan satu rumusan kepada prakarsa-prakarsa
yang telah memacu ekonomi negara semenjak saya menjadi Perdana Menteri
sebermulanya tahun 2009.
34. Ia sebetulnya juga, menjadi antara 'report card' utama kepada rakyat
dan Kerajaan pimpinan saya, sepanjang dua penggal tempoh pentadbiran
Kerajaan ini.
35. Bahkan, ia disusun sebagai satu dokumen pelonjak kepada pembikinan
sebuah negara Bangsa Malaysia untuk tempoh 30 tahun mendatang yang
akan dicorakkan semula di atas kanvas yang lebih baharu berasaskan
KERANGKA MAQASID SYARIAH.
36. Dalam memperkatakan hal ini, sesungguhnya secara sedar atau tidak,
sejak meraih kemerdekaan, kita begitu bertuah kerana Bapa-Bapa Pendahulu
telah menyulam manik-manik azimat Maqasid Syariah, yang mementingkan
pemeliharaan 5 aspek, yakni Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan Harta di
dalam setiap dasar dan setiap perancangan Kerajaan.
37. Kerangka Maqasid Syariah ini, dengan jelas difirmankan oleh Allah
S.W.T dalam surah Al-Mumtahanah ayat ke-12 yang mafhumnya menyebut,
tentang kepentingan menjaga kemaslahatan Ad-Dho’-RuRiyat yakni,
keperluan asas yang paling utama, sesuatu yang tidak boleh tidak
tanpanya, untuk kita, atau rakyat, meneruskan hidup.
38. Manakala menerusi pengertian Surah Al-Hajj dan Hadis antaranya
riwayat Ahmad, Haa-Ji-Yat pula, berkaitan perkara yang diperlukan oleh
manusia bagi memberi kemudahan kepada mereka supaya tidak berlaku
kesempitan yang membawa kepada kesulitan dan kesukaran hidup serta, ketiganya, keperluan kepada Tah-Si-Niyat hanyalah sekadar menjadi
penghias, pencantik dan bersifat pengindah semata-mata, untuk
kesempurnaan hidup.
39. Makanya, semenjak enam dekad lalu, segala usaha pentadbiran
Kerajaan Barisan Nasional secara lumrahnya diilhamkan oleh Tuhan Yang
Maha Mengetahui kepada pimpinan-pimpinan negara, agar sentiasa
‘terpandu’ dengan kerangka Maqasid Syariah ini, dan dari masa hingga
masa, diperkuatkan lagi oleh falsafah-falsafah seperti Perlembagaan
Persekutuan, Ideologi Kebangsaan Rukun Negara, prinsip Wasatiyah atau
moderation, Falsafah 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan,
dan terkini, aspirasi TN50 sebagai kesinambungan gagasan-gagasan pucuk
kepimpinan Kerajaan, zaman-berzaman, yang sekaligus menolak fahaman
ekstremisme, tidak berfikiran terlalu liberal, apatah lagi mengamalkan
sistem ala-Taliban State.
40. Jadinya, dari masa ke semasa, kepimpinan yang silih berganti ini,
telah menyusun segala dasar dan strategi negara berlandaskan roh serta
semangat kerangka dan pedoman Maqasid Syariah.
Tuan Yang Dipertua,
41. Memang benar, sekalipun kerangka Maqasid ini tidak tertulis atau
termaktub secara rasmi dalam mana-mana dokumen Kerajaan, akan tetapi
secara berhemah, amalan dan praktis-nya terzahir menerusi sekian-sekian
falsafah dan sekian-sekian dasar negara, yang bersambung-sambung dan
bertali-temali.
42. Sebenarnya lagi, manhaj Maqasid Syariah yang dipegang oleh Kerajaan
mensasarkan kepada kepentingan umum, yang mendatangi kebaikan kepada
rakyat terbanyak, dengan mengambil kira tahap kemampuan Kerajaan
mengikut tiga keutamaan, iaitu Dho’-Ru-Riyat, Haa-Ji-Yat dan
Tah-Si-Niyat, seperti yang saya sebutkan tadi.
43. Jadinya, terbuktilah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional yang
sudah menempa satu tempoh panjang yang sarat menggendong bersamanya,
begitu banyak selok belok pengalaman, mahupun pengetahuan sepanjang 60
tahun, telah menjadi asas kepada Evolusi Pembangunan serta pembikinan
jatidiri sebuah negara bangsa yang boleh diperbanggakan.
44. Makanya, berbekalkan semua prinsip dan garis-garis besar haluan
bernegara itu, pada petang yang berbahagia ini, dengan Kehendak dan
Kurnia Allah Yang Maha Kaya, saya membingkiskan sebuah lagi Dokumen
Besar demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara, yakni Bajet 2018.
Tuan Yang Dipertua, Saudara dan Saudari,
45. Bajet 2018 digubal selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-11,
dan ini merupakan Bajet yang ketiga di bawahnya. Lalu, untuk
mempastikan kemakmuran dan kekayaan negara dapat dinikmati secara
saksama dan inklusif, melalui pertumbuhan ekonomi domestik yang kukuh
serta berdaya saing, dengan izin Allah terhasillah Bajet ini dengan
bertemakan “MEMAKMUR EKONOMI YANG INKLUSIF, MENGIMBANG KEUNGGULAN
DUNIAWI DAN UKHRAWI DEMI MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT, MENUJU ASPIRASI
TN50” berasaskan kepada Lapan Pe-Tunjang.
Tuan Yang Dipertua,
PE-TUNJANG PERTAMA: MERANCAK PELABURAN, PERDAGANGAN DAN INDUSTRI
46. Jumlah pelaburan dalam negara dijangka meningkat 6.7 peratus atau menyumbang 25.5 peratus kepada KDNK pada tahun 2018.
47. Dalam hal ini, Kerajaan akan terus menekankan pelaburan berimpak
tinggi, seperti petroleum, logistik, rel, automasi dan robotik, serta
industri berasaskan eksport.
48. Sumbangan pelaburan swasta terus mengatasi pelaburan awam dengan
nisbah 70:30. Pelaburan swasta dijangka mencecah 260 bilion ringgit pada
2018, berbanding hanya 81 bilion ringgit pada 2009.
49. Manakala pelaburan sektor awam dijangka mencecah 109 bilion ringgit
berbanding hanya 75 bilion ringgit pada 2009. Ini sejajar matlamat ETP
untuk menjadikan sektor swasta sebagai 'engine of growth'.
50. Ini termasuk, satu bilion ringgit kepada Lima Koridor Utama.
Kerajaan akan membangunkan Wilayah Selatan Perak, merangkumi pembangunan
Proton City, Educity dan Youth City, Tanjung Malim serta Zon Bebas
Cukai Bukit Kayu Hitam; pembinaan pelabuhan dan kawasan perindustrian
Tok Bali, Kelantan serta jalan akses ke Empangan Baleh, Sarawak.
51. Serentak itu, bagi terus meletakkan Malaysia sebagai lokasi
pelaburan langsung asing, galakan cukai bagi Principal Hub akan
dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020. Bagi MIDA pula, kita akan
memperuntukkan 200 juta ringgit untuk dana strategik berimpak tinggi.
52. Malaysia komited untuk perkongsian maklumat ekonomi yang
diperkenalkan oleh OECD. Ini termasuklah menerusi pelaksanaan Pelan
Tindakan Base Erosion And Profit Shifting serta Pertukaran Maklumat
Secara Automatik mulai September 2018.
Mengukuh Perusahaan Kecil dan Sederhana
Tuan Yang Dipertua,
53. Pembangunan Malaysia akan dilaksanakan melalui penglibatan inklusif
PKS. Buat masa ini, di Malaysia, kita ada antaranya, perusahaan Jeruk
Pak Ali, Sydney Cake House, Telekung Siti Khadijah dan Satay Haji
Samuri, yang telah bertapak kukuh dengan jenama sendiri, malah ada yang
telah menembus pasaran antarabangsa.
54. Wakil-wakil PKS yang kita banggakan, turut memeriahkan Pembentangan
Bajet ini. Ucapkan selamat datang kepada mereka ke Dewan Parlimen, serta
marilah kita beri tepukan tahniah kepada kejayaan mereka!
55. Sehubungan itu, Tuan Yang Dipertua, Bajet ini mensasarkan supaya
syarikat-syarikat PKS akan menyumbang 41 peratus kepada KDNK menjelang
tahun 2020, melalui langkah berikut:
Pertama: Tujuh bilion ringgit di bawah Skim Jaminan Pembiayaan
Perniagaan atau SJPP, iaitu lima bilion ringgit untuk modal kerja dan
dua bilion ringgit, pinjaman dengan 70 peratus jaminan Kerajaan untuk
sektor perkhidmatan termasuk Industrial Revolution 4.0;
Kedua: Dalam komitmen Kerajaan untuk mengautomasikan proses
pengeluaran dan mengurangkan penggajian pekerja asing, satu jumlah besar
diberi buat julung kalinya, sebanyak satu bilion ringgit, dengan
pinjaman 70 peratus jaminan Kerajaan di bawah SJPP;
Ketiga: Saiz Dana Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah ditambah 1
bilion ringgit, menjadikan saiz dana 2.5 bilion ringgit. Kemudahan ini
diberi subsidi dua peratus ke atas kadar keuntungannya;
Keempat: Sejumlah 200 juta ringgit bagi program latihan, geran
dan pinjaman mudah PKS di bawah SME Corp; dan Kelima: Hampir 82 juta
ringgit bagi pembangunan industri dan produk halal di pelbagai agensi.
Pembiayaan Mikro.
56. Bukan itu sahaja, Kerajaan tidak melupakan usahawan-usahawan mikro,
seperti peniaga coconut shake di Klebang, Melaka yang popular itu.
57. Seiring ini juga, sukacita saya memperuntukkan Bajet paling tinggi
pernah diberi kepada TEKUN, iaitu setengah bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
58. Selanjutnya, bagi menghargai sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia atau
AIM yang majoritinya wanita serta merupakan pembayar balik hutang paling
berdisiplin, bagi mereka terus berusaha gigih, mengubah nasib dan
memajukan diri serta keluarga masing-masing,
Maka, bagi Bajet ini, apalah salahnya kita tambah-tambahkan lagi dana
AIM, sebanyak 200 juta ringgit. Ini menjadikan jumlah pembiayaan
keseluruhan AIM mencecah 2.7 bilion ringgit, memanfaatkan hampir 400
ribu peminjam. Lagipun, telah tercipta pelbagai kisah kejayaan di
kalangan peminjam.
Tuan Yang Dipertua,
59. Menyentuh hal ini, kita sesungguhnya berasa simpati dan berbaur
kagum dengan ketabahan seorang insan bernama Wan Azizah, atau lebih
dikenali dengan nama Kak Wan, dalam menempuh liku-liku hidup beliau
yang begitu mencabar, namun, berkat kesabaran, Kak Wan terus cekal berjuang, nampaknya, Kak Wan ada bersama-sama kita
pada hari ini. Justeru, marilah kita sama-sama memberi tepukan kepada
Kak Wan Azizah binti Wan Salleh, yang berada di atas sana, contoh
Sahabat AIM yang telah berjaya menjadi jutawan di bidang ternakan dan
pemprosesan ayam, dengan modal permulaan hanya sebanyak 500 ringgit
daripada AIM sejak 1993.
60. Selanjutnya, 80 juta ringgit disediakan di bawah Skim Pembiayaan
Ekonomi Desa melalui Bank Rakyat dan Bank SME, bagi menyediakan
kemudahan pembiayaan kepada usahawan Bumiputera luar bandar.
Meningkatkan Eksport
61. Eksport negara pula, akan terus dipergiat, terutama kepada sektor eksport yang bernilai tinggi menerusi langkah berikut:
Pertama: 150 juta ringgit kepada MATRADE, MIDA dan SME Corp bagi
melaksanakan promosi dan peluasan pasaran eksport termasuk Market
Development Grant;
Kedua: Satu bilion ringgit disediakan oleh EXIM Bank bagi
kemudahan kredit perlindungan insurans, dan dua 19 ratus juta ringgit
untuk kemudahan kredit pembiayaan kepada pengeksport PKS; dan
Ketiga: 100 juta ringgit disediakan sebagai pinjaman dengan 70
peratus jaminan Kerajaan bagi mengautomasi pengeluaran perabot tempatan
untuk tujuan eksport. Mempergiat Sektor Pertanian
62. Tuan Yang Dipertua, para pesawah, para petani, para pekebun
kecil, para nelayan, para penternak, serta mana-mana rakyat Malaysia
yang terlibat dalam sektor pertanian. Sesungguhnya, tuan-tuan dan
puan-puan lah antara kelompok masyarakat yang sangat dekat di hati saya
dan Kerajaan.
63. Justeru, buat pertama kali dalam sejarah Bajet negara, saya dengan
penuh prihatin mengumumkan, peruntukan paling besar kepada kelompok
pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak, dan
penoreh getah sebanyak 6.5 bilion ringgit antaranya:
Pertama: 2.3 bilion ringgit bagi bantuan dan insentif seperti
baja dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil getah dan
nelayan;
Kedua: Hampir 500 juta ringgit bagi menambah baik infrastruktur pengairan di kawasan pertanian dan menaik taraf jalan ladang;
Ketiga: Hampir 200 juta ringgit bagi program penanaman semula
getah dan menyediakan kemudahan infrastruktur dengan meningkatkan
pengeluaran latex 20 berbanding cup lump, sekali gus meningkatkan
pendapatan para pekebun kecil;
Keempat: Hampir 140 juta ringgit bagi program pembangunan dan penanaman semula kelapa sawit termasuk promosi;
Kelima: Dalam memperkasakan sektor pertanian, 200 juta ringgit
disediakan bagi inisiatif Sumber Kekayaan Baharu, khususnya untuk
penanaman jagung bijian, kelapa, durian, dan sektor kulinari serta
industri tenusu dengan menubuhkan Lembaga Tenusu dan Ruminan.
Contohnya, di Hong Kong, harga durian Mawsang King dikhabarkan telah mencecah lapan ratus ringgit sebiji.
Keenam: Buat pertama kalinya, skim khas, untuk program
peningkatan pengeluaran kelapa melalui pendekatan penanaman semula
kelapa variasi baru dari jenis CARECA dan MATAG akan diperkenalkan
dengan peruntukan 50 juta ringgit, memanfaatkan 10 ribu pekebun kecil.
Pengurusan industri kelapa akan digabungkan di bawah satu lembaga
bersama-sama industri nenas dan buahbuahan; dan
Ketujuh: Selain penoreh getah dan nelayan yang dikekalkan
bantuan-bantuannya, pada Bajet kali ini, buat pertama kalinya, saya juga
ingin mengumumkan bantuan sebanyak 200 ringgit sebulan bagi tempoh 3
bulan sementara menunggu hasil tuaian padi, dengan peruntukan hampir 150
juta ringgit kepada pesawah padi.
Mempergiat Industri Pelancongan
Tuan Yang Dipertua,
64. Ternyata, kini sektor pelancongan merupakan antara penjana pendapatan utama kepada ekonomi negara.
65. Buktinya World Tourism Organisation melaporkan bahawa pada 2016,
Malaysia adalah negara ke-12 yang paling ramai dikunjungi oleh pelancong
dari seluruh dunia. Bak kata orang, Dari Melaka ke Negeri Pahang,
Tumpang Berteduh di Bandar Pekan, Negara Tersohor Pelancong Pun Datang,
Itulah Tandanya Malaysia Aman.
66. Seterusnya, bagi tahun 2018, dijangka 28 juta pelancong melawat Malaysia. Sehubungan itu:
Pertama: Sukacita diisytiharkan dalam Bajet ini, tahun 2020
sebagai Tahun Melawat Malaysia atau Visit Malaysia Year 2020 di mana
Malaysia akan menjadi tuan rumah antaranya kepada APEC, WCIT dan CHOGM;
Kedua: Dua bilion ringgit diperuntukkan kepada Tabung Pelancongan
PKS sebagai pinjaman kepada pengusaha pelancongan dengan memberi
insentif subsidi kadar faedah dua peratus;
Ketiga: Menambah satu bilion ringgit kepada Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan sebagai pinjaman mudah;
Keempat: Menyediakan 500 juta ringgit bagi program pembangunan
dan promosi pelancongan melalui kemudahan infrastruktur pelancongan,
homestay dan program eko-pelancongan;
Kelima: Memperluas hab serantau eVisa bagi memudahkan permohonan
visa di seluruh dunia, terutama kepada ekspatriat, pelajar asing dan
program Malaysia My Second Home;
Keenam: Galakan cukai bagi pelaburan hotel baharu bertaraf 4 dan 5 bintang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020; dan
Ketujuh: Galakan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat pengendali pelancongan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2020.
Tuan Yang Dipertua,
67. Selain itu, industri pelancongan kesihatan turut diperkukuh menjadi
sumber pendapatan negara, termasuklah menyediakan ‘end-to-end service’
kepada pelancong kesihatan ke Malaysia.
68. Bagi hasrat ini, 30 juta ringgit disediakan kepada Malaysian Healthcare Travel Council untuk melaksanakan:
Pertama: Mempromosi Malaysia sebagai “Hab Rawatan Kesuburan,
Termasuk IVF, dan Kardiologi Asia”, yang akan diperluaskan dengan
kemudahan eVisa dan pakej perkhidmatan kesihatan bernilai tinggi;
Kedua: Memperkenalkan Program Flagship Medical Tourism Hospital
yang menawarkan insentif khusus kepada hospital swasta bagi menarik
pelancong kesihatan;
Ketiga: Galakan elaun cukai pelaburan sebanyak seratus peratus bagi pelancongan kesihatan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020;
Keempat: Potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan mendapatkan
pensijilan kualiti daripada Badan pensijilan akreditasi kualiti
perkhidmatan kesihatan, bagi perkhidmatan pergigian dan ambulatori yang
berdaftar dengan MHTC; dan
Kelima: Insentif khas pengecualian cukai dinaikkan daripada 50
peratus ke 100 peratus dari nilai peningkatan eksport, bagi perkhidmatan
jagaan kesihatan swasta sahaja, mulai tahun taksiran 2018 hingga 2020.
Memacu Sektor Logistik
Tuan yang Dipertua,
69. Dalam mempastikan limpahan ekonomi yang lebih seimbang di antara
bandar dan luar bandar, Kerajaan akan memperkemas infrastruktur logistik
dan pengangkutan, melalui langkah berikut:
Pertama: Pembinaan projek East Coast Rail Link atau ECRL yang
menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor, Kelantan yang dapat
membawa muatan kargo dan penumpang dalam tempoh empat jam. Kerja-kerja
pembinaan fizikal akan bermula Januari 2018.
Selain itu, 110 juta ringgit diperuntukkan untuk menyedia jalan
alternatif ke Pelabuhan Klang bagi melengkap dan melancarkan jaringan
pengangkutan;
Kedua: Projek MRT2 jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dengan
jarak 52 kilometer meliputi 37 stesen dengan anggaran kos 32 bilion
ringgit. Selain itu, Kerajaan akan mempercepatkan pembinaan MRT3 atau
Circle Line, dijangka siap pada 2025, lebih awal berbanding 2027.
Selanjutnya, bagi projek LRT3 yang bakal menghubungkan Bandar Utama ke
Johan Setia, Klang, dijangka siap pada Februari 2021;
Ketiga: Projek High Speed Rail menghubungkan Kuala Lumpur -
Singapura sejauh 350 kilometer dalam masa 90 minit, dijangka
memanfaatkan rakyat menjelang 2026;
Keempat: Berita gembira buat rakyat Selangor dan Perak, Lebuhraya
Pesisiran Pantai Barat dari Banting ke Taiping sedang dibina dengan kos
lima bilion ringgit;
Kelima: Untuk Projek Central Spine Road, 230 juta ringgit
diperuntukkan untuk tahun 2018 bagi meneruskan pembinaan, antaranya
pakej jajaran Raub ke Bentong, dan jajaran Gua Musang, Kelantan ke
Kampung Relong, Pahang;
Keenam: Bajet ini juga mengisytiharkan bahawa,… Pulau Pangkor di
Perak sebagai Pulau Bebas Cukai. Walau bagaimanapun, ini tidak termasuk
barang-barang seperti minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor; dan
Ketujuh: Untuk merancakkan ekonomi di bahagian Utara, Special
Border Economic Zone di Bukit Kayu Hitam akan dibangunkan. Pembangunan
ini turut merangkumi Zon Perindustrian Bebas yang akan menjadi tarikan
baharu kepada pelabur dari dalam dan luar negara.
Tuan Yang Dipertua,
70. Di samping itu juga, Kerajaan melihat secara holistik keperluan
rakyat untuk menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan
selamat dengan langkah berikut:
Pertama: Tiga bilion ringgit disediakan kepada Dana Pembangunan
Pengangkutan bagi pembelian aset kapal, pembangunan industri teknologi
aeroangkasa dan rel. Seterusnya, satu bilion ringgit diperuntukkan
kepada Tabung Pengangkutan Awam bagi modal kerja dan pembelian aset
seperti bas dan teksi;
Kedua: 95 juta ringgit bagi pembaikan dan pembinaan jeti serta pengerukan kuala sungai;
Ketiga: Berikutan kejadian-kejadian kemalangan bas penumpang, 45
juta ringgit dibelanjakan bagi mewujudkan satu sistem kawalan biometric
untuk memantau pemanduan perkhidmatan bas ekspres; dan
Keempat: 55 juta ringgit sebagai subsidi pengangkutan perkhidmatan keretapi luar Bandar, dari Tumpat ke Gua Musang.
Tuan Yang Dipertua,
71. Saya membentangkan Bajet ini sebagai Perdana Menteri untuk
kesejahteraan rakyat, tanpa mengira perbezaan fahaman politik dan
kedudukan geografi, demi kepentingan ekonomi negara secara
keseluruhannya, maka saya mengumumkan,
Pertama: Kerajaan akan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi;
Kedua: Membina baharu lapangan terbang Mukah dan pembesaran Lapangan terbang Kota Bharu dan Sandakan;
Ketiga: Sementara itu, satu kajian mengenai lapangan terbang baru di Pulau Tioman sedang dijalankan oleh Kerajaan; dan
Keempat: Untuk merancakkan pembangunan di Labuan, Kerajaan akan
membuat feasibility study bagi membina jambatan menghubungkan Labuan
dengan tanah besar di Sabah.
Memperkukuh Pasaran Kewangan
Tuan Yang Dipertua,
72. Sesungguhnya, kita berbangga Malaysia dikenali sebagai peneraju
sistem kewangan Islam dunia. Justeru, bagi memperkukuhkan potensi
Malaysia sebagai pusat kewangan yang lebih komprehensif, Kerajaan akan
meneruskan langkah berikut:
Pertama: 1.5 bilion ringgit untuk pinjaman perniagaan yang
dikendalikan oleh SJPP, menggunakan harta intelek sebagai instrumen
cagaran dengan memberi jaminan pembiayaan sehingga 80 peratus; dan
Kedua: Memberi pengecualian duti setem ke atas nota kontrak bagi
transaksi jual beli Exchange-Traded Fund dan Structured Warrants bagi
tempoh tiga tahun mulai Januari 2018.
73. Untuk merancakkan pasaran modal dan menyediakan akses pelaburan,
Alternative Trading System akan diperkenalkan, tertakluk kepada
pematuhan kesemua syarat dan piawaian regulatori yang ditetapkan. Ini
akan membolehkan padanan tawaran jual-beli yang lebih efisien dan
ketara.
Tuan Yang Dipertua,
74. Selanjutnya juga, Kerajaan ini turut mendengar rintihan dan keluhan
banyak syarikat kecil seperti start-ups yang sukar mendapat akses kepada
modal, bagi membawa mereka ke pasaran yang lebih luas.
75. Untuk itu, Bajet ini akan menggalakkan aktiviti venture capital dengan melaksanakan langkah seperti berikut:
Pertama: Satu bilion ringgit disediakan oleh pelabur institusi
utama untuk pelaburan venture capital dalam sektor keutamaan terpilih
yang diselaras oleh Suruhanjaya Sekuriti;
Kedua: Meluaskan pengecualian cukai pendapatan, meliputi fi
pengurusan dan fi prestasi yang diterima oleh syarikat pengurus venture
capital mulai tahun taksiran 2018 hingga 2022;
Ketiga: Bagi memberi kemudahan kepada syarikat venture capital
untuk melabur di dalam syarikat teroka, adalah dicadangkan had minima
pelaburan dalam syarikat teroka dikurangkan daripada 70 peratus kepada
50 peratus, mulai tahun taksiran 2018 hingga 2022;
Keempat: Syarikat atau individu yang melabur dalam syarikat
venture capital, diberi potongan cukai bersamaan amaun pelaburan yang
dibuat di dalam syarikat teroka, terhad kepada maksima 20 juta ringgit
setahun; dan
Kelima: Galakan pengecualian cukai pendapatan yang bersamaan
jumlah pelaburan oleh angel investor dalam syarikat teroka dilanjutkan
sehingga 31 Disember 2020.
Seterusnya, Kerajaan akan terus merancakkan pasaran Sustainable and Responsible Investment dengan langkah berikut:
Pertama: Pengecualian cukai pendapatan ke atas penerima geran khas Sukuk Green SRI berjumlah enam juta ringgit; dan
Kedua: Pengecualian cukai pendapatan ke atas pendapatan fi
pengurusan diperluaskan kepada pengurus dana SRI konvensional yang
diluluskan mulai tahun taksiran 2018 hingga 2020.
Tuan Yang Dipertua,
Kerajaan akan menggalakkan ekonomi cashless society melalui peningkatan
keberkesanan penggajian pekerja asing. Mulai 2018, Bank Negara Malaysia
akan memantau pembayaran gaji kepada semua pekerja asing, kecuali
pembantu rumah, dibuat melalui akaun bank tempatan.
Tuan Yang Dipertua,
PETUNJANG KEDUA: MENUJU ASPIRASI TN50
Pada pembentangan Bajet 2017 lalu, saya memperkenalkan Transformasi
Nasional 2050 atau TN50 bagi melakar sebuah negara bangsa yang unggul,
agar Malaysia terjulang dalam 20 negara terbaik di dunia.
Dilaksanakan secara bottom-up, saya sendiri telah turun padang,
mengadakan siri-siri wacana dan dialog TN50 dengan pelbagai segmen
masyarakat seperti belia, mahasiswa, penjawat awam, penggiat seni,
pendidik, dan pihak swasta, bagi mendapatkan aspirasi, pandangan dan
idea. Setakat ini, lebih daripada 80,000 aspirasi telah diterima,
melibatkan 1.8 juta rakyat mewakili pelbagai golongan dari seluruh
negara.
Tuan Yang Dipertua,
Menuju TN50 bagi mencapai kualiti kerja dan kehidupan keluarga yang
seimbang, pihak berkuasa tempatan hendaklah mewajibkan semua bangunan
pejabat yang baru supaya menyediakan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak,
bermula di Kuala Lumpur.
Selain itu, TN50 juga menekankan aspek pembelaan nasib semua golongan,
termasuklah kebajikan orang kurang upaya (OKU). Justeru, potongan cukai
tambahan bagi majikan menggaji OKU diperluaskan kepada majikan yang
menggaji pekerja yang mengalami kemalangan atau penyakit kritikal, yang
disahkan oleh Lembaga Perubatan Perkeso bahawa mereka masih layak
bekerja.
Tuan Yang Dipertua,
Seterusnya, demi menjamin masa depan generasi TN50 yang lebih cerah,
kerajaan bersama-sama PNB telah bersetuju supaya setiap anak Malaysia
yang dilahirkan bermula 1 Januari 2018 sehingga 2022 dihadiahkan Dana
Tabungan Permulaan sebanyak RM200 melalui unit Amanah Saham di PNB.
Skim yang pertama kali diperkenalkan di negara ini akan dinamakan
sebagai Amanah Dana Anak Malaysia 2050 atau sesudahnya ini dikenali
sebagai ADAM50.
Tuan Yang Dipertua,
Menyentuh tentang pendidikan untuk generasi TN50 lagi sebanyak RM250 juta disediakan untuk:
Pertama: Menubuhkan Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan
Matematik (STEM) bertujuan membentuk kaedah pembelajaran terkini bagi
melatih guru pakar mengguna pakai fasiliti institut pendidikan guru
sedia ada dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia.
Kedua: Mempertingkatkan modul computer science yang termasuk
program coding dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah yang kini
telah pun wujud di tingkatan satu dan tingkatan tiga.
Ketiga: Memperuntukkan RM190 juta bagi menaik taraf 2,000 kelas
menjadi bilik darjah pintar pembelajaran abad ke-21, bagi meningkatkan
pembelajaran berasaskan pemikiran kreatif dan inovatif;
Keempat: Menuju TN50, kerajaan juga melihat peranan penggiat seni
untuk mengangkat mutu budaya ke tahap yang lebih tinggi. Untuk itu,
hampir RM20 juta disediakan kepada Cultural Economy Development Agency.
Tuan Yang Dipertua,
Mutakhir ini, kerajaan amat berbangga dengan pencapaian terbaik
pendidikan tinggi negara kita: Menurut Laporan QS University Ranking
2017/2018, kelima-lima research universities di negara ini telah
meningkat naik tergolong kumpulan 300 universiti terbaik global, yakni
tersenarai antara satu peratus terbaik dunia.
Malah, ranking Universiti Malaya telah meningkat sebanyak 19 anak tangga
ke kedudukan 114, menghampiri 100 universiti terbaik dunia;
Mengikut ranking Universitas 21, yang menilai sistem pendidikan tinggi,
Malaysia ditempatkan pada kedudukan ke-25 terbaik dunia. Kita telah
mendaki sebanyak 11 anak tangga dalam tempoh 6 tahun;
Dengan jumlah 134,000 pelajar asing di IPT tempatan, kita menghampiri matlamat menjadi hab pendidikan tinggi serantau.
Tuan Yang Dipertua,
Sejak 2009 hinggalah sekarang, peruntukan untuk biasiswa yang disediakan oleh kerajaan berjumlah RM44 bilion. Bagi 2018,
Pertama: 2.2 bilion ringgit bagi pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan;
Kedua: 400 juta ringgit untuk geran penyelidikan dan pembangunan
kepada IPTA, berbanding 235 juta ringgit yang diperuntukkan dalam Bajet
yang lalu, termasuk satu peruntukan khas kepada Universiti Malaya untuk
mencapai status Top 100 Universities in the World dalam masa terdekat;
Ketiga: 90 juta ringgit diperuntukkan bagi Program MyBrain untuk
10,600 orang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan kedoktoran;
dan
Keempat: Setiap penuntut di IPT dan tingkatan enam pula akan
terus diberi Bantuan Baucar Buku bernilai 250 ringgit, memanfaatkan
seramai 1.2 juta pelajar.
Di kesempatan ini juga, saya mengucapkan sekalung tahniah kepada barisan
kepimpinan baharu Majlis Perwakilan Pelajar di semua Universiti Awam,
yang nampak kali ini, majoritinya dimenangi oleh pimpinan Mahasiswa
Pro-Aspirasi, generasi pewaris TN50.
Sebahagian wakil mereka turut bersama kita. Syabas dan tahniah diucapkan!
Kerjaya dan Bakat TN50
Tuan Yang Dipertua,
87. Rakyat Malaysia perlu mempersiap siaga diri, peka dan pantas,
melalui latihan dan latihan semula, dalam memenuhi kehendak pasaran
kerja. Kerajaan akan terus memberi sokongan melalui,
88. Contohnya, Skim Latihan 1Malaysia atau SL1M, yang telah melatih
lebih 138 ribu graduan, akan diteruskan dengan peningkatan sebanyak 5
ribu graduan kepada 25 ribu perantis pada tahun hadapan.
Manakala, program temuduga terbuka oleh unit SL1M juga diteruskan dengan peruntukan sebanyak 40 juta ringgit.
89. Bagi memperluaskan SL1M, syarikat swasta yang mendapat kontrak
Kerajaan diwajibkan memperuntukkan satu peratus daripada nilai projek
kepada SL1M.
90. Selain itu, Kerajaan akan mewujudkan pusat sehenti menggabungkan
agensi seperti JobsMalaysia, SL1M, PERKESO, HRDF dan TERAJU di UTC untuk
menyediakan khidmat nasihat profesional bagi mendapatkan pekerjaan
serta latihan.
91. Bagi mencungkil bakat-bakat terbaik negara, Kerajaan akan mencipta
‘talent file’ program National Leaders Circle di bawah Talentcorp bagi
mengenalpasti dan menyenaraipendekkan bakat-bakat pimpinan yang sesuai
dan tepat, untuk mengisi jawatan-jawatan penting dan tertinggi.
92. Kerajaan memandang serius gejala sosial yang membarah dalam
masyarakat. Untuk menanganinya, geran sepadan sebanyak 50 juta ringgit
bagi membiayai social enterprise dan NGO-NGO untuk menyelesaikan masalah
kemasyarakatan harian serta cabaran sosial secara inovatif yang
membantu rakyat.
Pembangunan Sukan
Tuan Yang Dipertua,
93. Pada Ogos dan September yang lalu, di Stadium Nasional Bukit Jalil,
Kuala Lumpur menyaksikan bahawa, Malaysia telah diisytiharkan sebagai
Juara Keseluruhan Temasya Sukan SEA Ke-29, dan mendapat tempat Kedua
Sukan Para ASEAN Ke-9.
94. Justeru, bagi pihak Kerajaan, marilah kita beri tepukan paling gemuruh kepada semua ‘wira’ dan ‘wirawati’ kita di atas sana!
Tuan Yang Dipertua,
95. Bagi mengekalkan momentum bidang sukan dalam menjadi sports
powerhouse, Kerajaan memperuntukkan satu bilion ringgit bagi
melaksanakan inisiatif meliputi FitMalaysia, Hari Sukan Negara, latihan
atlit, program akar umbi dan program pembangunan bola sepak negara.
96. Kerajaan juga mengumumkan pembinaan 14 kompleks sukan baharu di seluruh negara, dengan kos 112 juta ringgit.
97. Di samping itu, sukacita diumumkan peruntukan 20 juta ringgit kepada
Sekolah Sukan Bukit Jalil, untuk menambah baik kemudahannya sebagai
sekolah sukan premier.
PE-TUNJANG KETIGA: MENGUNGGULI PEMBANGUNAN PENDIDIKAN, LATIHAN, KEMAHIRAN DAN BAKAT
Tuan Yang Dipertua,
98. Untuk pengetahuan, perbelanjaan pendidikan Malaysia adalah lebih dua
kali ganda daripada perbelanjaan negara ASEAN lain secara purata. Bagi
tahun 2018, 61.6 bilion ringgit disediakan untuk sektor ini. Ini
termasuk 654 juta ringgit bagi pembinaan empat pra sekolah, sembilan
pusat PERMATA termasuk dua pusat baharu untuk kanakkanak autisme; 48
buah sekolah rendah, menengah dan kolej vokasional, serta sebuah pusat
matrikulasi.
Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah
99. Saban tahun, Bajet ini sentiasa memberi keutamaan kepada Tabung Khas
Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah. Di sudut ini, 550 juta
ringgit diperuntukkan, dengan pecahan berikut:
• Sekolah Kebangsaan - 250 juta ringgit;
• Sekolah Jenis Kebangsaan Cina - 50 juta ringgit;
• Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil - 50 juta ringgit;
• Sekolah Mubaligh - 50 juta ringgit;
• Sekolah Berasrama Penuh - 50 juta ringgit;
• Maktab Rendah Sains MARA - 50 juta ringgit; dan
• Sekolah Agama Bantuan Kerajaan - 50 juta ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
100. Menyedari dan menginsafi hakikat bahawa terdapat hampir 2 ribu
sekolah di seluruh negara yang berada dalam keadaan daif, seperti
bumbungnya bocor, lantai yang rosak, dinding berlubang dan peralatan
yang sudah lama tidak berganti.
101. Untuk itu, melalui kaedah Industrial Building System, Kerajaan
dengan penuh rasa tanggungjawab, mengumumkan, peruntukan terbesar
sejumlah 2.5 bilion ringgit bagi tempoh dua tahun, dengan pecahan 500
juta ringgit buat sekolah-sekolah daif di Semenanjung Malaysia, 1 bilion
ringgit di Sabah dan 1 bilion ringgit di Sarawak.
Bantuan Persekolahan
102. Sejumlah 2.9 bilion ringgit pula, diperuntukkan untuk bantuan
makanan, buku teks, geran kapita dan biasiswa kecil persekutuan.
103. Manakala, Bantuan Persekolahan seratus ringgit seorang kepada murid
sekolah berpendapatan rendah diteruskan, dengan peruntukan 328 juta
ringgit, memanfaatkan 3.2 juta murid.
Tuan Yang Dipertua,
104. Menyentuh hal pendidikan, teringat saya intisari sajak Guru Oh Guru
yang sering disesuaikan dengan karya Sasterawan Negara, Allahyarham
Dato’ Usman Awang atau nama pena-nya Tongkat Warrant, berbunyi: Jika
hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,… Menjadi seorang Perdana Menteri,…
menjadi doktor,… menjadi peguam,… Menjadi ahli politik,… menjadi
akauntan,… Hakikat,… sejarahnya dimula oleh seorang guru biasa,… Dengan
lembut dan sabar,… Gurulah yang mengajar kita menulis dan membaca.
105. Begitulah mulianya pengorbanan para guru, bagai lilin yang membakar
diri. Maka diucapkan syabas kepada semua guru di seluruh negara, yang
telah bertungkus-lumus membangunkan anak-anak bangsa!
Pembiayaan Pengajian Tinggi
Tuan Yang Dipertua,
106. Seperti semua maklum, PTPTN ditubuhkan bagi menguruskan pinjaman
untuk anak-anak Malaysia melanjutkan pengajian pendidikan tinggi.
107. Dalam bab PTPTN ini, semua kena faham, seperti mafhum dalam hadis, hutang tetap hutang dan wajib dibayar.
108. Maka hal PTPTN ini usahlah dipolitikkan, tapi peminjam perlu
bertanggungjawab membayar balik, kerana generasi kini dan akan datang
turut memerlukannya, sebagai mana anda semua.
109. Kepada semua peminjam PTPTN, Kerajaan bersetuju melanjutkan diskaun
bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 31 Disember 2018 seperti berikut:
20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;
10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan
10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau direct debit mengikut jadual.
110. Bukan itu sahaja, sukacita saya mengumumkan kelonggaran tambahan PTPTN seperti berikut:
Pertama: Bagi pelajar dari keluarga B40 yang mengikuti kursus
berboleh-pasaran tinggi, 200 juta ringgit ditambah untuk menaikkan
jumlah pinjaman maksimum mereka; dan
Kedua: Tempoh grace period pembayaran balik pinjaman dilanjutkan
kepada 12 bulan setelah tamat pengajian, berbanding enam bulan pada masa
ini.
111. Seterusnya, kepada para peminjam yang ingin menyambung pengajian keperingkat seterusnya, sebagai contoh diploma ke ijazah sarjana muda,
mereka boleh menggabungkan pinjaman diploma dan ijazah sebagai satu
pinjaman, dan hanya perlu membuat bayaran balik selepas tamat pengajian
di peringkat ijazah itu.
112. Jelas sekali, pelbagai ruang telah Kerajaan berikan, kalau tak bayar juga, tak tahu lah apa yang kita nak ucapkan lagi,
Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia
Tuan Yang Dipertua,
113. Selain itu, bagi menggalakkan budaya menabung untuk pendidikan, 250
juta ringgit disediakan kepada 500 ribu pencarum berumur 7 hingga 12
tahun dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional yang dijenamakan semula
sebagai Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia atau SSP1M, kelolaan PTPTN.
Geran sepadan lima ratus ringgit akan diberikan kepada mereka yang
mempunyai jumlah caruman sekurang-kurangnya lima ratus ringgit, dan
hanya boleh dikeluarkan apabila mencapai usia 18 tahun.
114. Tambahannya, tempoh pelepasan cukai pendapatan individu
dilanjutkan, terhad kepada enam ribu ringgit, bagi simpanan bersih yang
dibuat ke dalam SSP1M selama tiga tahun mulai tahun taksiran 2018.
Memartabat Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional
Tuan Yang Dipertua,
115. Sebetulnya lagi, menyedari kepentingan Pendidikan dan Latihan
Teknikal dan Vokasional atau TVET dalam melahirkan tenaga kerja
berkemahiran tinggi dan berdaya saing, kesemua institusi TVET di bawah
tujuh Kementerian, dijenamakan sebagai “TVET Malaysia”, di bawah
koordinasi Kementerian Sumber Manusia.
116. Selain itu, Kerajaan memperuntukkan 4.9 bilion ringgit untuk melaksanakan Pelan Induk TVET Malaysia.
117. Bagi menggalakkan lepasan TVET melanjutkan pengajian, Kerajaan
menyediakan seratus Biasiswa Pelajar Cemerlang TVET dengan peruntukan
4.5 juta ringgit.
118. Bagi menyokong perkembangan industri pekerja mahir dalam bidang
rel, Kerajaan akan menubuhkan National Rail Centre of Excellence,
berperanan menyelia dan menyelaras jaminan kualiti serta akreditasi
pendidikan dan latihan rel negara.
Sebagai tambahan, syarikat Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., dengan
kerjasama IPTA, akan melatih tiga ribu profesional dalam industri ini.
Tuan Yang Dipertua,
PE-TUNJANG KEEMPAT: MEMACU PEMBANGUNAN INKLUSIF
Menyedia Infra-Rakyat yang Berkualiti
119. Sesungguhnya, kualiti infrastruktur dan interconnectivity negara akan terus dipermodenkan.
120. Justeru, Kerajaan terus bertumpu kepada Projek-Projek Infra-Rakyat
bertaraf dunia. Contohnya, MRT jajaran Sungai Buloh-Kajang berjaya kita
siapkan, berkeupayaan menampung 400 ribu pengguna sehari.
121. Menariknya, MRT ini merupakan ‘success story’ di mana kita bukan
sahaja dapat menyiapkan projek itu lebih awal daripada jadual, malah,
telah berjaya menjimatkan kos sebanyak 2 bilion ringgit daripada jumlah
asal pembinaan.
Tuan Yang Dipertua,
122. Menjengah kemudahan prasarana di Sabah dan Sarawak pula, Kerajaan
telah mengotakan janjinya melalui pembinaan LEBUHRAYA PAN-BORNEO.
123. Mudah-mudahan, projek ini akan terus mengukir senyuman lebar kepada
“urang-urang” Sabah dan Sarawak kerana kemajuan telah sampai di
kaki-kaki halaman masing-masing, sehingga kawasan terpencil di Kapit-Ulu
Song, yang sebelum ini terputus hubungan dengan dunia luar.
Tuan Yang Dipertua,
124. Untuk infrastruktur asas terutama di luar bandar, 6.5 bilion ringgit disediakan, antaranya:
Pertama: 2 bilion ringgit untuk projek Lebuhraya Pan-Borneo. Bagi
negeri Sarawak, kesemua 11 pakej pembinaan telah diagihkan, manakala
lima daripada 35 pakej Fasa Pertama di Sabah sudahpun dianugerahkan, dan
12 lagi dalam proses tender;
Kedua: 1.1 bilion ringgit untuk projek mesra rakyat seperti menaik taraf jambatan, lampu jalan kampung, surau serta pasar;
Ketiga: Satu bilion ringgit diperuntukkan melalui SKMM, bagi
membangunkan infrastruktur komunikasi serta kemudahan jalur lebar di
Sabah dan Sarawak;
Keempat: 934 juta ringgit untuk projek jalan luar bandar, termasuk hampir 500 juta ringgit untuk Sabah dan Sarawak;
Kelima: 672 juta ringgit untuk bekalan elektrik, termasuk 620
juta ringgit untuk Sabah dan Sarawak melibatkan 10 ribu rumah luar
bandar.
Secara keseluruhannya, sejak 2009, lebih 100 bilion ringgit subsidi
telah dibelanjakan termasuk subsidi gas bahan api, untuk membolehkan
rakyat Malaysia mendapatkan bekalan elektrik yang murah, berkualiti dan
reliable;
Keenam: 420 juta ringgit termasuk hampir 300 juta ringgit untuk
Sabah dan Sarawak, disediakan bagi bekalan air bersih meliputi 3 ribu
rumah;
Ketujuh: 500 juta ringgit disediakan untuk Program
Penyelenggaraan Infrastruktur Awam, dan Projek Infrastruktur Asas, untuk
memenuhi keperluan dan wishlist rakyat di peringkat akar umbi; dan
Kelapan: 50 juta ringgit diperuntukkan untuk pemetaan dan
pengukuran tanah-tanah adat, iaitu 30 juta ringgit untuk Sarawak dan 20
juta ringgit untuk Sabah.
Sebahagian daripada projek rakyat-centric ini akan dilaksanakan melalui
inisiatif pembiayaan swasta.
National Blue Ocean Shift (NBOS)
125. NBOS juga terus dilaksanakan secara pantas dan bersepadu, dengan kos yang minima serta berimpak tinggi.
126. Bagi 2018, sebanyak 300 juta ringgit diperuntukkan untuk program
NBOS termasuk pembinaan UTC baharu, Blue Ocean Entrepreneur Township,
Mobile CTC, program keusahawanan, Global Entrepreneurship Community
serta Usahawan Sosial yang inklusif dan vibrant.
Tuan Yang Dipertua,
Kebajikan Peneroka FELDA
127. Kebajikan para peneroka FELDA terus dibela. Lebih 112 ribu peneroka
FELDA telah menerima ‘durian runtuh’ melalui enam insentif utama,
antaranya bayaran Insentif Khas Peneroka bernilai 5 ribu ringgit.
128. Saya juga ingin mengumumkan, Kerajaan akan mengembalikan wang ses
yang telah dibayar oleh peneroka getah yang telah membuat tanaman semula
kelapa sawit, dari tahun 2010 hingga 2016. Ini akan memanfaatkan 8,925
peneroka FELDA dengan peruntukan 43 juta ringgit. Bukan itu sahaja, 60
juta ringgit juga disediakan untuk program tanaman semula sawit.
129. Selanjutnya, 164 juta ringgit diperuntukkan bagi membina 5 ribu unit Rumah Generasi Kedua FELDA, dengan kerjasama SPNB.
130. Sebagai tambahan, hampir 200 juta ringgit lagi diperuntukkan kepada
FELDA, bagi sistem bekalan air dan menaik taraf jalan serta lampu jalan.
Mustahaknya, Kerajaan kini, dulu dan selamanya akan memperjuangkan
nasib para peneroka FELDA.
Tuan Yang Dipertua,
Keselamatan dan Ketenteraman Awam
131. Bagi mengekang ancaman ideologi ekstremisme seperti IS dan DAESH,
Kerajaan telah menubuhkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui
Komunikasi.
132. Disamping itu, Kerajaan akan Mempertingkatkan Keselamatan Sempadan
Dan Ketenteraman Awam dengan memperuntukkan lebih 14 bilion ringgit
untuk Angkatan Tentera Malaysia, hampir 9 bilion ringgit untuk Polis
DiRaja Malaysia dan lebih 900 juta ringgit kepada Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia atau APMM.
133. Program utama yang akan dilaksanakan merangkumi:
Pertama: Tiga bilion ringgit untuk pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan;
Kedua: 720 juta ringgit bagi pembinaan sebelas ibu pejabat dan
enam balai polis, serta pembelian kelengkapan senjata api dan kenderaan
operasi. Manakala 170 juta ringgit untuk menaik taraf peralatan ICT
termasuk sistem 1PDRMnet, serta 100 juta ringgit bagi menaik taraf
sistem komunikasi.
Selanjutnya, bagi menjaga kebajikan anggota polis, saya dengan
sukacitanya mengumumkan, 10 ribu unit Perumahan Penjawat Awam
1Malaysia-PDRM atau PPA1M-PDRM akan dibina, yang harganya sesuai dengan
tangga gaji anggota polis;
Ketiga: 490 juta ringgit kepada APMM untuk baik pulih dan
selenggara kapal serta bot, menaiktaraf jeti, juga pembelian tiga kapal
peronda;
Keempat: 250 juta ringgit kepada ESSCOM bagi mempertingkatkan
kawalan keselamatan di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak, termasuk 50
juta ringgit untuk coastal surveillance radar;
Kelima: 50 juta ringgit bagi meningkatkan keupayaan aset persenjataan pasukan gerak khas menangani kegiatan anti-keganasan; dan
Keenam: Selain itu, dalam menghargai peranan RELA membantu
masyarakat selama ini, Kerajaan menyediakan peruntukan yang paling
tinggi, iaitu hampir 250 juta ringgit bagi kelengkapan keperluan,
termasuk pakaian seragam.
134. Dalam menjaga kebajikan para tentera, Kerajaan akan:
Pertama: Menyediakan blueprint Perumahan Keluarga Angkatan
Tentera untuk membina lebih 40 ribu unit secara berfasa, menjelang tahun
2030.
Bagi 2018, sebanyak hampir 6 ribu unit akan dibina; dan
Kedua: 40 juta ringgit untuk menaik taraf lima hospital, membina empat poliklinik dan hospital veteran angkatan tentera.
135. Untuk itu, marilah kita bersama-sama memberikan setinggi-tinggi
penghargaan dan tepukan kepada semua anggota keselamatan negara,
merangkumi pasukan polis, anggota tentera, dan APMM, yang telah
berkorban jiwa dan raga, demi menjaga keamanan serta kedaulatan pertiwi
tercinta ini!
Tuan Yang Dipertua,
Dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera
136. Seperti mana kita maklum, Masyarakat Bumiputera kini menghampiri 70 peratus daripada keseluruhan 32 juta rakyat Malaysia.
137. Oleh yang demikian, adalah wajar Kerajaan melalui dasar Transformasi
Kesejahteraan Bumiputera atau TKB, untuk terus mempastikan Agenda
Pemerkasaan Bumiputera menjadi Agenda Nasional.
138. Semenjak tahun 2009, pelbagai inisiatif besar bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera telah dan sedang dilaksanakan.
139.Contohnya, inisiatif Carve Out and Compete bagi Bumiputera, telah
mencapai nilai kontrak lebih 61 bilion ringgit. Juga, 1.7 bilion ringgit
Dana Mudahcara telah diluluskan kepada 515 projek, menyediakan lebih 44
ribu peluang pekerjaan.
140. Apa yang membanggakan, program ini telah membuktikan bahawa,
kontraktor-kontraktor Bumiputera semakin berdaya saing dan berkeupayaan,
malah mampu menyiapkan projek lebih awal dari jadual, tanpa menjejaskan
kualiti.
141. Di sudut lain, melalui Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera,
hampir 17 ribu bakat-bakat profesional bumiputera telah berjaya
dilahirkan seperti di bidang perakaunan dan kejuruteraan.
142. Selain itu, 2.4 bilion ringgit diperuntukkan kepada UiTM. Dalam pada
ini, Kerajaan telah menambah bilangan kemasukan pelajar di UiTM kepada
lebih 165 ribu orang dengan sasaran mencapai 250 ribu pelajar menjelang
2020.
143. Lebih membanggakan, UiTM sebagai institusi Bumiputera, telah berjaya
melahirkan lebih 700 ribu graduan Melayu dan Bumiputera.
144. Laginya, untuk 2018, Kerajaan memperuntukkan lebih 3.5 bilion ringgit bagi inisiatif:
Pertama: 2.5 bilion ringgit, yakni tertinggi pernah diberikan,
untuk biasiswa pengajian tinggi dan latihan di bawah MARA, memanfaatkan
hampir 90 ribu pelajar, termasuk 1,500 dalam bidang kritikal seperti
Artificial Intelligence, signalling dan Rel;
Kedua: 90 juta ringgit, bagi Program Peneraju Profesional, Skil dan Tunas, memanfaatkan hampir 8 ribu orang;
Ketiga: 200 juta ringgit untuk MARA Graduate Employability Training Scheme atau GETS;
Keempat: 555 juta ringgit untuk Program Peningkatan Keusahawanan Bumiputera, terdiri daripada:
200 juta ringgit bagi Program Keusahawanan dan Premis Perniagaan PUNB;
200 juta ringgit untuk Program Pembangunan Keusahawan MARA; serta
155 juta ringgit untuk program pembangunan kapasiti vendor, Tunas
Usahawan Belia Bumiputera atau TUBE, Skim Usahawan Permulaan Bumiputera
atau SUPERB dan Skim Anjakan Usahawan; dan
Kelima: Bagi meningkatkan pegangan ekuiti dan pelaburan dalam
sektor strategik, 150 juta ringgit diperuntukkan kepada Pelaburan
Hartanah Berhad dan 150 juta ringgit kepada EKUINAS.
Tuan Yang Dipertua,
Kesejahteraan Masyarakat Cina dan India
145. Sebagai suatu Bajet yang inklusif, untuk komuniti Cina pula,
Kerajaan turut menyediakan 50 juta ringgit untuk pinjaman PKS melalui
KOJADI.
146. Sebagai tambahan, 30 juta ringgit juga disalurkan kepada Yayasan
Peniaga dan Penjaja Kecil 1Malaysia untuk memberi pinjaman kepada
penjaja komuniti Cina.
147. Sementara itu, kepada pembangunan Kampung-kampung Baru Cina,
sebanyak 65 juta ringgit diperuntukkan, dan 10 juta ringgit lagi untuk
program membaik pulih rumah.
Tuan Yang Dipertua,
148. Menyentuh kebajikan kaum India pula, purata pendapatan bulanan isi
rumah menunjukkan kadar pertumbuhan yang tinggi, iaitu 6.8 peratus
setahun. Laginya baru-baru ini, saya telah melancarkan Pelan Tindakan
Masyarakat India Malaysia.
149. Untuk itu, melalui TEKUN, 50 juta ringgit diperuntukkan untuk Skim
Pembangunan Usahawan Masyarakat India, memanfaatkan lebih 35 ribu
usahawan. Sebagai tambahan, 50 juta ringgit lagi diperuntukkan untuk
program pembangunan sosio ekonomi masyarakat India.
150. Pada masa yang sama, melalui MIB juga, pengambilan kaum India ke
institusi pengajian tinggi awam dan perkhidmatan awam akan Kerajaan
tingkatkan, dengan sasaran pengambilan baharu tujuh peratus.
151. Di bawah Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India atau SEDIC
pula, lebih 230 juta ringgit telah diagihkan sejak 2014, memanfaatkan
lebih 500 ribu peserta kaum India.
152. Bajet 2018 juga akan memperkenalkan satu inisiatif baharu untuk
masyarakat India. Sukacita saya maklumkan bahawa PNB akan membuat
pengagihan khas sejumlah 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia
untuk masyarakat India, terhad kepada 30 ribu unit setiap pelabur.
153. Bagi menyokong inisiatif ini juga, dana sebanyak 500 juta ringgit
diperuntukkan untuk tempoh lima tahun bagi satu skim pinjaman pelaburan
khas yang akan ditawarkan kepada 100 ribu isi rumah daripada golongan
B40 masyarakat India, terhad kepada 5 ribu unit setiap peserta.
154. MIB membuktikan kepada masyarakat India bahawa, dalam pembangunan
negara, tidak ada kelompok yang ketinggalan,… ‘indeed, the future
belongs to all of us’ atau dalam bahasa Tamilnya disebut sebagai,
‘NAA-LEY NAMA-THEY’.
Tuan Yang Dipertua,
Orang Asli
155. Bagi meningkatkan taraf hidup dan pembangunan ekonomi masyarakat
Orang Asli, 50 juta ringgit disediakan, meliputi program bantuan makanan
komuniti, memanfaatkan hampir 5 ribu pelajar Orang Asli.
156. Selain itu, sebagai insentif kepada anak Orang Asli yang berjaya,
Kerajaan juga akan memberi bantuan sebanyak 3 ribu ringgit kepada ibu
bapa, sebagai perbelanjaan persediaan anak-anak mereka memasuki
institusi pengajian tinggi.
157. Selanjutnya, Program Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang Asli
juga diteruskan dengan peruntukan sebanyak 60 juta ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
Wanita dan Kesejahteraan Keluarga
158. Sememangnya wanita adalah tulang belakang kepada kesejahteraan
keluarga dan pembangunan negara. Maka, sebagai menghargai sumbangan
mereka, sukacitanya Kerajaan mengumumkan, 2018 sebagai Tahun Memperkasa
Wanita.
159. Ke arah itu, antara langkah yang akan dilaksanakan:
Pertama: Mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam
keahlian lembaga pengarah GLC dan GLIC serta badan berkanun, sebelum
akhir tahun 2018;
Kedua: Mencadangkan tempoh cuti bersalin mandatori untuk sektor
swasta dinaikkan daripada 60 hari ke 90 hari, seperti yang telah
dilaksanakan oleh perkhidmatan awam;
Ketiga: 20 juta ringgit untuk program latihan dan keusahawanan wanita antaranya PEAK Entrepreneur Programme di bawah MyWin Academy; dan
Keempat: Bagi menggalakkan golongan wanita kembali bekerja,
Kerajaan mencadangkan layanan pengecualian cukai pendapatan individu
disediakan ke atas pendapatan yang diperolehi dalam tempoh 12 bulan
berturut-turut, kepada mereka selepas tempoh sekurang-kurangnya dua
tahun berhenti daripada pekerjaan.
Pengecualian ini layak dituntut bagi tahun taksiran 2018 hingga 2020.
Tuan Yang Dipertua,
PE-TUNJANG KELIMA: MENGUTAMAKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT DAN PELUANG MENJANA PENDAPATAN
160. Mengutama Kesejahteraan Rakyat dan Peluang Menjana Pendapatan. Menjana Pendapatan Rakyat.
161.Kerajaan terus komited dan berikhtiar gigih dalam mewujudkan peluang
pekerjaan serta menjana pendapatan, melalui langkah-langkah berikut:
Pertama: 100 juta ringgit untuk memperluas Program eRezeki, eUsahawan dan eLadang di bawah MDEC;
Kedua: Menyediakan pinjaman mudah sebanyak 120 juta ringgit
kepada seribu usahawan Food Truck 1Malaysia dan Mobile Food Kiosk
1Malaysia melalui Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional, dengan
Kerajaan memberi subsidi kadar faedah empat peratus;
Ketiga: 60 juta ringgit untuk program 1AZAM, termasuk 10 juta ringgit untuk Sabah dan 10 juta ringgit untuk Sarawak; dan
Keempat: 25 juta ringgit untuk Program Motosikal Tiga Roda di bawah FAMA, program mobilepreneur GiatMara, dan program MyAGROSIS.
162. Di sudut lain, selaras dengan IR 4.0, kepada semua pemandu teksi
berdaftar sedia ada, bahawa Kerajaan mendengar pandangan tuan-tuan, yang
berhasrat untuk bertukar ke penggunaan aplikasi e-hailing. Untuk itu,
saya umumkan, geran 5 ribu ringgit disediakan kepada setiap pemandu
teksi yang terlibat untuk membeli kereta baharu. Kita berasa gembira
kerana beberapa wakil pemandu teksi turut hadir mendengan pembentangan
Bajet pada petang ini. Kita ucapkan terima kasih, terima kasih!
Meningkatkan Pendapatan Boleh Guna (Disposable Income)
Tuan Yang Dipertua,
163. Sejak BR1M diperkenalkan, terbukti rakyat teramai menerimanya dengan
senang hati dan rasa syukur. Jelas sekali, BR1M merupakan suatu bentuk
subsidi bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukannya,
terbukti keberkesanannya.
164. Hatta, pihak pembangkang yang begitu negatif terhadap inisiatif ini
dan menuduh sebagai “dedak” itu dan “umpan” ini, tapi kini tanpa segan
silu membuat “u-turn”, dan khabarnya Kerajaan Pulau Pinang sendiri telah
akur akan benarnya program BR1M oleh Kerajaan ini.
165. Sehubungan itu, jika BR1M tahun ini telah memanfaatkan 7 juta
penerima dengan peruntukan 6.8 bilion ringgit, maka bagi tahun 2018, 7
juta penerima itu akan terus menikmati pemberian ini, dengan kadar
maksimum sehingga 1,200 ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
166. Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pendapatan boleh guna
isi rumah serta merapatkan jurang pendapatan di Malaysia.
167. Dengan ini, saya mengumumkan satu lagi khabar gembira kepada setiap
2.3 juta pembayar cukai, yang akan dinikmati terutamanya oleh golongan
pendapatan pertengahan yakni M40, atau lebih khusus, isi rumah
berpendapatan 9 ribu ringgit ke bawah.
168. Ingin saya umumkan,…. kadar cukai pendapatan individu pemastautin
dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara
20 ribu hingga 70 ribu ringgit, iaitu:
Pertama: Banjaran Pendapatan Bercukai daripada 20,001 ringgit
sehingga 35,000 ringgit, kadarnya diturunkan daripada 5 peratus kepada 3
peratus;
Kedua: Banjaran Pendapatan Bercukai daripada 35,001 ringgit
sehingga 50,000 ringgit pula, kadarnya diturunkan daripada 10 peratus
kepada 8 peratus; dan
Ketiga: Banjaran Pendapatan Bercukai daripada 50,001 ringgit
sehingga 70,000 ringgit kadarnya diturunkan daripada 16 peratus kepada
14 peratus.
Langkah ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat antara 300
ringgit sehingga seribu ringgit. Ini bermakna, dianggarkan sejumlah 1.5
bilion ringgit lebihan pendapatan boleh guna, dapat dibelanjakan oleh
rakyat. Dengan langkah ini juga, lebih 261 ribu orang kini tidak perlu
lagi membayar cukai pendapatan.
Tuan Yang Dipertua,
169. Seperkara lagi, demi kemaslahatan rakyat seharian, Bajet ini masih
memperuntukkan 3.9 bilion ringgit subsidi barangan dan pengangkutan,
termasuk gas memasak, tepung, minyak masak, subsidi elektrik dan tol.
170. Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, Kedai Rakyat 1Malaysia
akan distruktur semula sebagai KR1M 2.0. Sebagai permulaan pada 2018, 50
kedai akan dijadikan KR1M 2.0 dan diperluaskan kepada tiga ribu KR1M
2.0 dalam tempoh tiga tahun.
171. KR1M 2.0 akan menyediakan lima barang keperluan asas dengan harga
rendah iaitu beras, gula, minyak masak, tepung dan LPG. Di samping 55
itu, 50 jenis barangan pengguna berjenama dijual pada harga lebih rendah
daripada pasaran.
172. Bagi Program Penyeragaman Harga Barang Keperluan Asas di Sabah dan Sarawak diteruskan dengan peruntukan 80 juta ringgit.
173. Di samping itu, Kerajaan akan membangunkan Agrobazaar Malaysia
dengan peruntukan 20 juta ringgit, bagi menyediakan ruang pasaran dan
pusat jualan agro makanan dengan harga yang lebih rendah, dimulakan di
Putrajaya.
174. Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani akan melaksanakan
program melalui FAMA dan LKIM dengan peruntukan 50 juta ringgit,
bertujuan agar pengguna memperolehi stok barang makanan dengan harga
berpatutan, seperti ikan, sayur, ayam dan telur.
Tuan Yang Dipertua,
175. Seterusnya, berita gembira buat pengguna lebuhraya di Selangor,
Kedah dan Johor. Mulai 1 Januari 2018, Kerajaan telah bersetuju untuk:-
Pertama: Memansuhkan kutipan tol di Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau di Selangor;
Kedua: Memansuhkan kutipan tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah; dan
Ketiga: Memansuhkan kutipan tol di Eastern Dispersal Link, Johor.
Tuan Yang Dipertua,
Skim Persaraan 1Malaysia
176. Bagi mereka yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap,
Kerajaan akan meningkatkan sumbangan terhadap caruman kepada 15 peratus
tertakluk kepada maksimum 250 ringgit setahun di dalam Skim Persaraan
1Malaysia, di bawah KWSP. Sumbangan ini bermula dari 2018 hingga 2022.
Tuan yang Dipertua,
Pembantu Rumah Asing
177. Kerajaan sedar akan beban kos yang ditanggung oleh isi rumah, bagi
penggajian pembantu rumah asing. Pada masa ini, kos keseluruhan membawa
masuk setiap pembantu rumah boleh mencecah setinggi 12 hingga 18 ribu
ringgit.
178. Bagi mengatasi isu ini, Kerajaan akan mengkaji semula kos
pengambilan pembantu rumah asing supaya dapat dikurangkan pada masa
hadapan.
179. Sebagai permulaan, Kerajaan memberi pilihan kepada majikan untuk
mengambil pembantu rumah asing secara langsung daripada sembilan negara
sumber, tanpa melalui ejen.
180. Seterusnya, majikan boleh memohon visa pembantu rumah daripada
Jabatan Imigresen Malaysia secara online dengan bayaran levi dan fi
pemprosesan seperti kadar sedia ada.
Perumahan
Tuan Yang Dipertua,
181. Dalam hal perumahan dan kediaman, Kerajaan akan merancakkan lagi
usaha pemilikan rumah untuk rakyat dengan peruntukan 2.2 bilion ringgit
seperti berikut:
Pertama: 17,300 unit rumah Projek Perumahan Rakyat;
Kedua: 3,000 unit rumah program Rumah Mesra Rakyat di bawah SPNB;
Ketiga: 210 ribu unit rumah di bawah program PR1MA yang berharga
250 ribu ringgit ke bawah. Untuk ini, 1.5 bilion ringgit diperuntukkan
bagi tempoh dua tahun;
Keempat: 25 ribu unit rumah akan disiapkan pada tahun hadapan di
bawah PPA1M, dan 128 ribu unit lagi di bawah pelbagai peringkat
pelaksanaan;
Kelima: 600 unit rumah di bawah program My Beautiful New Homes
atau MyBNHomes untuk isi rumah B40 antaranya di Terengganu, Pahang,
Melaka, Johor, Sabah, Sarawak dan kawasan orang asli;
Keenam: 2 ribu unit rumah di bawah program MyDeposit untuk
membantu pembayaran deposit, dan program MyHomes untuk pemaju
menyediakan lebih banyak rumah mampu milik; dan
Ketujuh: 200 juta ringgit untuk penyelenggaraan dan pembaikan rumah, termasuk Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia.
182. Bagi menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik, skim
step-up financing yang diperkenalkan oleh PR1MA, dipanjangkan kepada
pemaju perumahan swasta, berdasarkan kriteria yang akan ditetapkan.
183. Berkaitan rumah terbengkalai pula, dicadangkan pengecualian duti
setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindahmilik, diberikan
kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai,
berkuatkuasa 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020.
Tuan Yang Dipertua,
184. Bagi tujuan menggalakkan pasaran sewaan rumah kediaman pula, buat
kali pertama dalam tempoh 60 tahun, Kerajaan mengumumkan, pengecualian
cukai ke atas pendapatan sewaan rumah kediaman sebanyak 50 peratus bagi
pendapatan sewa sehingga dua ribu ringgit sebulan kepada individu
rakyat Malaysia yang bermastautin di Malaysia.
185. Pengecualian ini diberi bermula dari tahun taksiran 2018 hingga
2020. Kerajaan juga akan menggubal Akta Sewaan Rumah Kediaman untuk
melindungi penyewa dan pemilik rumah.
Kesihatan
Tuan Yang Dipertua,
186. Bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, Kerajaan memperuntukkan hampir 27 bilion ringgit, meliputi:
Pertama: 2.5 bilion ringgit bagi bekalan ubat-ubatan dan 1.6 bilion ringgit untuk barangan consumable dan sokongan perubatan;
Kedua: 1.4 bilion ringgit bagi menaiktaraf dan menyelenggara
fasiliti kesihatan, peralatan perubatan dan ambulan, termasuklah
pembinaan dewan bedah secara modular di tiga hospital iaitu Hospital
Muar, Banting dan Balik Pulau;
Ketiga: Menaiktaraf perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik di
Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dan Hospital Sultanah
Bahiyah Alor Setar;
Keempat: 100 juta ringgit untuk menaik taraf hospital dan klinik termasuk sistem pendawaian;
Kelima: 50 juta ringgit untuk bantuan haemodialisis dengan
subsidi 100 ringgit daripada keseluruhan kos 110 ringgit setiap sesi
rawatan. Maknanya, mulai 2018, pesakit berdaftar hanya membayar sepuluh
ringgit sahaja bagi setiap sesi rawatan. 40 juta ringgit lagi
diperuntukan bagi Tabung Bantuan Perubatan. Kedua-dua insentif ini
khusus untuk golongan kurang berkemampuan; dan
Keenam: 10 juta ringgit untuk menampung kos perubatan bagi
rawatan rare diseases yang kian meningkat, dan 30 juta ringgit
disediakan bagi program Komuniti Sihat Perkasa Negara ke arah kesedaran
terhadap kesan penyakit tidak berjangkit di 10 ribu kawasan seluruh
negara; dan
Ketujuh: Sejumlah 50 juta ringgit diperuntukan kepada Voluntary Health Insurance Scheme untuk memperkasa sector kesihatan.
187. Selanjutnya, Kerajaan akan membina hospital dan wad baharu meliputi:
Pertama: Dua blok wad wanita dan kanak-kanak di Hospital Tengku
Ampuan Afzan dan Hospital Putrajaya, dengan kapasiti 300 katil setiap
satu, dengan kos satu bilion ringgit;
Kedua: Pusat Kanser di Sungai Petani, dengan kos 500 juta ringgit, dengan kapasiti 200 buah katil;
Ketiga: Blok klinik pakar dan wad baharu di Hospital Pulau Pinang, berkapasiti 300 buah katil, dengan kos 500 juta ringgit; dan
Keempat: Pusat perkhidmatan perubatan forensik bertaraf antarabangsa di Hospital Kuala Lumpur, dengan kos 380 juta ringgit.
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)
Tuan Yang Dipertua,
188. Berkaitan GST pula, bagi terus menambah baik pelaksanaannya, Kerajaan mencadangkan:
Pertama: Semua pembekalan perkhidmatan oleh PBT tidak dikenakan
GST, berkuatkuasa mulai 1 April 2018 atau 1 Oktober 2018 berdasarkan
pilihan PBT;
Kedua: Layanan GST berkadar sifar ke atas bahan bacaan, diseragam
dan diperluaskan meliputi semua jenis majalah, komik, journal dan
terbitan berkala mulai 1 Januari 2018;
Ketiga: Operator kapal persiaran diberi pelepasan GST ke atas
perkhidmatan pengendalian yang dibekalkan oleh operator pelabuhan di
Malaysia. Pelepasan ini bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember
2020; dan
Keempat: Pelepasan GST sepenuhnya diberi ke atas perkhidmatan
pembinaan bangunan sekolah dan rumah ibadat, yang dibiayai melalui
sumbangan derma yang diluluskan. Pelepasan ini berkuat kuasa bagi
kontrak perkhidmatan pembinaan yang ditandatangani mulai 1 April 2017.
Tuan Yang Dipertua,
189. Bercakap tentang GST lagi, pihak Kerajaan minta, agar sudah-sudahlah
dipolemikkan sebagai isu politik, kerana terbukti GST menjadi
penyelamat kepada ekonomi kita tahun ini, kerana tanpa kutipan GST 41
bilion ringgit ini, kita tidak dapat bayangkan macam mana negara boleh
menampung perbelanjaan yang diperlukan untuk rakyat.
190. Jelasnya, pihak pembangkang sampai hari ini tidak sepakat tentang
keputusan menerima sistem GST, ada yang kata GST diterima tapi based on
zero-rate, dan yang terbaru dah nak kembali ke SST pula. Tapi
hakikatnya, apa yang telah Kerajaan lakukan itu, terakam dalam sejarah
sebagai langkah berani yang terbukti kebenarannya.
191. Selanjutnya,…
Kelima: Pelepasan GST diberi ke atas pengimportan peralatan
berkaitan industri minyak dan gas di bawah satu perjanjian pajakan,
dibekalkan oleh syarikat yang berada di Kawasan Ditetapkan iaitu Labuan,
Langkawi dan Tioman kepada pelanggan di Malaysia, mulai 1 Januari 2018;
Keenam: Pelepasan GST diberi ke atas pengimportan big ticket
items, seperti kapal terbang dan kapal laut, oleh syarikat penerbangan
dan perkapalan yang berdaftar di Malaysia. Pelepasan GST turut diberikan
kepada syarikat di dalam industri minyak dan gas yang mengimport
pelantar minyak atau struktur terapung. Langkah ini bermula 1 Januari
2018; dan
Ketujuh: Perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan
kediaman berstrata yang dibekalkan oleh Badan Pengurusan Bersama dan
perbadanan pengurusan yang kini tidak dikenakan GST, diperluas untuk
meliputi perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan yang dibekalkan
oleh pemaju perumahan, mulai 1 Januari 2018.
Tuan Yang Dipertua,
PE-TUNJANG KEENAM: MEMPERSIAGA REVOLUSI PERINDUSTRIAN KEEMPAT DAN EKONOMI DIGITAL
Revolusi Industri 4.0
192. Dunia kini di ambang The Fourth Industrial Revolution dan era
digital economy, sehingga Kerajaan berusaha melaksanakan Dasar Digital
Malaysia.
193. Lantaran itu, sebagai menyokong aktiviti pelaburan dan perniagaan
IR 4.0, Kerajaan akan menyediakan geran sepadan sebanyak 245 juta
ringgit di bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik bagi menaik taraf
kemudahan Smart Manufacturing.
194. Selanjutnya, Futurise Centre di Cyberjaya akan diperkukuhkan
sebagai pusat sehenti syarikat korporat dan universiti, untuk
membangunkan prototype produk serta melonjakkan daya inovasi.
195. Berkait ini Tuan Yang Dipertua, Kerajaan akan memberi galakan cukai seperti berikut:
Pertama: Melanjutkan tempoh insentif Elaun Modal Dipercepatkan
sebanyak 200 peratus ke atas kelengkapan automasi dari tahun taksiran
2018 sehingga 2020;
Kedua: Galakan Elaun Modal Dipercepatkan sebanyak 200 peratus, untuk sektor pengilangan dan perkhidmatan berkaitan pengilangan; dan
Ketiga: Elaun Modal bagi peralatan ICT termasuk perbelanjaan
pembangunan perisian komputer, layak dituntut sepenuhnya mulai tahun
taksiran 2018 hingga 2020.
Pembangunan Lestari
Tuan Yang Dipertua,
196. Walau semaju mana kita mengejar arus kemodenan negara, kita tetap
wajib memelihara kelestarian alam sekitar, sebagai khazanah warisan
tanah air anak cucu kita.
197. Berkait ini, kita terkejut dengan tragedi tanah runtuh di Tanjung
Bungah, Pulau Pinang pada Sabtu lepas, yang telah menimbus lebih 20
mangsa, dan 11 daripadanya disahkan meninggal dunia.
Dengan tidak disangka-sangka, terbitnya serangkap keluhan, bagi meratapi peristiwa ngeri itu.
198. Yang terlebih syahdu, kerana ia dinukilkan sendiri oleh Ahli
Parlimen DAP yang kita segani dari sebelah sana, Yang Berhormat Kepong,
bertajuk, “Tanah Runtuh di Lereng Bukit” di ruangan Twitternya, yang
berbunyi: Ibu jaga anak kan sakit, Darah tubuh beban kesihatan, Pemaju
bina leretan bukit, Tanah runtuh korban insan.
199. Sebetulnya apa kias yang YB Kepong ingin sampaikan, hanya Tuhan sahaja yang tahu, …
Tuan Yang Dipertua,
200. Jadinya, untuk mempastikan pembangunan lestari, langkah berikut akan dilaksanakan:
Pertama: Lima bilion ringgit disediakan di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau, bagi menggalakkan pelaburan industri teknologi hijau;
Kedua: Melaksanakan Program Non-Revenue Water, untuk mengurangkan kadar purata kehilangan air dengan kos 1.4 bilion ringgit;
Ketiga: Membina Off-River Storage sebagai sumber air alternatif
dengan kos 1.3 bilion ringgit; dan Keempat: 517 juta ringgit disediakan
untuk rancangan tebatan banjir di seluruh negara. Digital Free Trade
Zone.
201. Berbalik kepada hal ekonomi digital, Malaysia bakal memiliki Digital
Free Trade Zone yang pertama di luar negara China. DFTZ ini merangkumi
e-Fulfilment Hub, Satellite Services Hub dan e-Service Platform bagi
melonjakkan negara dalam perdagangan elektronik, dengan menjadikan KLIA
sebagai gateway serantau.
202. Fasa Pertama DFTZ mensasarkan penyertaan 1,500 PKS dalam ekonomi
digital dan dijangka menarik pelaburan sebanyak 700 juta ringgit dengan
mewujudkan 2,500 peluang pekerjaan. Untuk tujuan ini:
Pertama: 83.5 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai penyediaan infrastruktur fasa satu DFTZ di Aeropolis, KLIA; dan
Kedua: Nilai de minimis bagi import, dinaikkan dari 500 ke 800
ringgit, untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab
e-commerce serantau. Regulatory Sandbox.
Tuan Yang Dipertua,
203. Selanjutnya, Kerajaan akan mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk
meraih manfaat inovasi, khususnya daripada cetusan idea start-up
tempatan.
204. Sukacita diumumkan Kerajaan akan memperluaskan pendekatan
‘regulatory sandbox' bagi memudahkan syarikat menguji idea inovatif dan
model perniagaan baharu, yang akan dilaksanakan oleh semua Regulator
berkaitan.
Tuan Yang Dipertua,
PE-TUNJANG KETUJUH: MENINGKATKAN KECEKAPAN DAN PENYAMPAIAN GLC DAN PERKHIDMATAN AWAM
205. Meningkatkan kecekapan dan Penyampaian GLC dan Perkhidmatan Awam.
206. Selaras dengan falsafah pembangunan growth with equity, Malaysia
berhasrat mencapai pertumbuhan ekonomi yang kukuh dengan pengagihan
hasil ekonomi yang lebih saksama kepada rakyat.
207. Bagi tujuan ini, syarikat GLC akan merintis teladan kepada sektor
korporat melalui KPI bagi meningkatkan nisbah pampasan pekerja, selaras
dengan pertumbuhan produktiviti seperti berikut:
Pertama: GLC akan meningkatkan pengagihan keuntungan kepada pekerjanya, seperti menerusi pembayaran gaji dan elaun, secara berperingkat;
Kedua: Memperkenalkan flexible benefits, yakni pekerja diberi
pilihan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna, dengan menukar
kelayakan cuti tahunan dan cuti kesihatan kepada ganjaran tunai;
Ketiga: Menambah baik flexible work arrangements, untuk
menggalakkan work-life balance melalui pengubahsuaian waktu bekerja
mingguan, waktu kerja anjal dan kerja separa masa;
Keempat: Memperkenalkan kemudahan lepasan cuti untuk menunaikan umrah;
Kelima: Bagi menyokong ibu bapa bekerja, GLC akan menyediakan
taska di pejabat utama, dan kemudahan pengurangan waktu bekerja untuk
pekerja wanita yang mengandung; dan
Keenam: Meningkatkan pelaburan dalam latihan, khususnya
melaksanakan kursus kemahiran digital untuk pekerja dan bantuan
pendidikan untuk anak pekerja.
Mengutamakan Kebajikan Warga Emas, OKU dan Kanak-Kanak
Tuan Yang Dipertua,
208. Berhubung hal penyampaian dalam mengutamakan kebajikan semua pihak
termasuk warga emas, OKU dan kanak-kanak, sukacita Kerajaan mengumumkan
bantuan 1.7 bilion ringgit kepada mereka, dan juga:
Pertama: Menaikkan elaun warga emas 50 ringgit menjadi 350
ringgit sebulan, memanfaatkan hampir 144 ribu orang, dengan peruntukan
603 juta ringgit; dan
Kedua: Menaikkan elaun OKU yang bekerja, tidak bekerja dan
penjaga OKU sebanyak 50 ringgit sebulan, memanfaatkan lebih 163 ribu
orang dengan peruntukan 100 juta ringgit.
209. Selain itu, bagi melindungi kanak-kanak dari jenayah seksual,
Kerajaan telah menubuhkan sebuah Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap
Kanak-Kanak, yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara. Pada tahun
hadapan, tiga lagi mahkamah akan ditubuhkan. Lembaga Pembiayaan
Perumahan Sektor Awam (LPPSA).
Pembiayaan Perumahan Penjawat Awam
Tuan Yang Dipertua,
210. Kepada penjawat awam,… bagi memudahkan mereka memiliki rumah
idaman, mulai 1 Januari 2018, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam
akan melaksanakan:
Pertama: Membenarkan pembiayaan LPPSA ke atas hartanah yang dibangunkan di atas tanah wakaf;
Kedua: Memasukkan yuran guaman berkaitan penyediaan perjanjian pembiayaan perumahan sebagai sebahagian daripada skop pembiayaan LPPSA;
Ketiga: Membenarkan pembiayaan perumahan bersama atau joint-loan
daripada LPPSA, antara suami-isteri atau anak-anak, dengan syarat semua
pemohon adalah anggota perkhidmatan awam; dan
Keempat: Membenarkan pembiayaan perumahan bersama antara
suami-isteri atau anak-anak, dengan syarat, sekurang-kurangnya seorang
pemohon adalah anggota perkhidmatan awam,.... Manakala pemohon bersama
bukan penjawat awam perlu menggunakan pembiayaan institusi kewangan atau
agensi yang mempunyai skim pembiayaan perumahan sendiri, yang bersetuju
menjadi pemegang gadaian kedua.
Tuan Yang Dipertua,
PE-TUNJANG KELAPAN: MENGIMBANGI PAR EXCELLENCE DUNIAWI DAN PAR EXCELLENCE UKHRAWI
211. Sesungguhnya, tiada siapa yang tahu dan dapat meramalkan apakah rupa bentuk, wajah dunia pada masa mendatang.
212. Tapi pastinya, Allah Hu Ta’ala menyukai hamba-hambaNya yang terus
berikhtiar dengan gigih, merancang masa depan demi kepentingan negara
dan ummah seluruhnya.
213. Berbekalkan mafhum Surah Al-A’raf ayat 96, di mana Tuhan akan
melimpahkan rezeki dan keberkatan-Nya dari langit serta bumi, selagi
penduduk dan rakyatnya beriman lagi bertaqwa.
214. Sebab itulah dalam konteks negara ini, Kerajaan mensasarkan Malaysia akan menjadi sebuah negara yang:
Pertama: High Income Advanced Economy pada tahun 2020;
Kedua: Nilaian ekonomi dan dagangan semasa menjadi dua trillion ringgit pada tahun 2025;
Ketiga: Menikmati impak dan manfaat IR 4.0 yang mula menampakkan kematangan signifikan pada tahun 2030;
Keempat: Watan yang lebih kompetitif lagi bersifat hampir zero defects pada tahun 2040; dan
Kelima: InsyaAllah,… kita akan mencapai sebuah ketamadunan unggul
di mana negara ini, bakal tersenarai dalam 71 gelanggang kelompok 20
negara termaju lagi terbaik di persada dunia.
Institut Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERI)
Tuan Yang Dipertua,
215. Hakikatnya, keluarga adalah institusi nukleus paling penting dalam
membentuk nilai dan pengutuhan insan. Kerana, kesepaduan sosial lazimnya
bermula daripada keharmonian dan kebahagiaan keluarga.
216. Untuk itu, Kerajaan akan mewujudkan Institut Penyelidikan
SosioEkonomi atau SERI di bawah JPM dan menaik taraf KITA-UKM atau
Institut Kajian Etnik UKM sebagai institusi kebangsaan. Peruntukan yang
sewajarnya akan disediakan oleh Kerajaan.
217. SERI berperanan mengkaji dan menilai keberkesanan dasar serta
pelaksanaan program juga projek pembangunan negara terhadap rakyat.
Manakala KITA menyelaras pendidikan sosioekonomi peringkat negara dan
mewujudkan indeks pembangunan sosial negara.
218. Sebagai analoginya, jika EPU berperanan seumpama the brain dalam
menggubal dasar ekonomi, manakala, ICU sebagai hands and legs dalam
pemantauan projek, maka KITA dan SERI akan berfungsi sebagai the soul or
the heart. Ia mencakupi aspek kerohanian dan jiwa, nilai-nilai murni
serta program berbudaya tinggi untuk membina jati diri generasi TN50
bagi menangani gejala sosial.
219. Sehubungan ini, Kerajaan sentiasa menghargai peranan NGO-NGO dan akan terus berkerjasama dengan mereka dalam menangani masalah sosial. Penekanan akan diberikan kepada institusi keluarga yang merupakan nukleus yang paling kecil, namun paling penting dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat kita.
Kebajikan Untuk Penjawat Awam
220. Saya tahu,… ramai yang ternanti-nanti pengumuman-pengumuman
tertentu kepada 1.6 juta penjawat awam, sebagaimana yang saya warwarkan
dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15 pada awal bulan ini.
221. Lantas, demi menghargai sumbangan para penjawat awam, khabar
gembira yang ditunggu-tunggu itu sudah pun tiba. Saya mengumumkan:
Pertama: Kenaikan pangkat time-based kali kedua bagi kumpulan pelaksana untuk tempoh 13 tahun, selepas kenaikan kali pertama;
Kedua: Penjawat awam yang dibersarakan atas sebab kesihatan, akan
menerima faedah persaraan seolah-olah pegawai berkhidmat sehingga umur
persaraan wajib;
Ketiga: Membenarkan Gantian Cuti Rehat melebihi 150 hari digunakan sebagai cuti rehat pada tahun persaraan;
Keempat: Menaikkan kadar Cuti Rehat Khas bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan daripada tujuh hari kepada 10 hari setahun;
Kelima: Kerajaan buat pertama kalinya, bersetuju memberikan
kemudahan tujuh hari cuti tanpa rekod sepanjang tempoh perkhidmatan bagi
menunaikan umrah;
Keenam: Untuk memberi fleksibiliti, Kerajaan akan menambah satu lagi Waktu Kerja Berperingkat iaitu bermula jam 9 pagi hingga 6 petang;
Ketujuh: Pakar Perubatan Gred UD54 dan ke atas, yang telah
diwartakan sekurang-kurangnya 4 tahun, serta memenuhi syarat tertentu,
akan diberi kelonggaran satu hari seminggu untuk melaksanakan Waktu
Kerja Fleksi;
Kelapan: Penjawat awam wanita yang mengandung lima bulan ke atas,
dibenarkan pulang lebih awal sejam. Bagi melengkapi hasrat ini, suami
yang bekerja Kerajaan juga dibenarkan pulang lebih awal sejam,…
syaratnya, suami dan isteri mestilah bekerja di lokasi yang berdekatan;
Kesembilan: Meningkatkan kelayakan cuti bersalin daripada 300
hari kepada 360 hari sepanjang perkhidmatan, tertakluk kepada maksimum
90 hari setahun;
Kesepuluh: Pembelajaran sepanjang hayat pegawai perkhidmatan awam dengan melaksanakan Kursus Sarjana dan PhD secara in-house;
Kesebelas: Menaikkan kadar pencen terendah kepada 1,000 ringgit
sebulan melibatkan lebih 50 ribu pesara awam, dengan sekurang-kurangnya
25 tahun tempoh perkhidmatan; dan
Kedua belas: Pemanjangan kemudahan perubatan untuk ibu dan bapa kepada pesara Kerajaan.
Kesemua langkah di atas berkuat kuasa mulai 1 Januari 2018.
Komuniti dan Kejiranan
Tuan Yang Dipertua,
222. Sebagai negara Islam yang progresif dan dinamik, Kerajaan
menghargai bakti Ketua Kampung serta Tok Batin. Untuk itu, Kerajaan
mengumumkan bayaran khas one-off sebanyak 1,500 ringgit melibatkan 9,800
orang. Seribu ringgit akan dibayar pada Januari 2018 dan 500 ringgit
menjelang Hari Raya Aidilfitri.
223. Bagi mempastikan kawasan kejiranan sentiasa selamat dan tenteram,
40 juta ringgit diperuntukkan untuk meneruskan pemberian geran Komuniti
Penduduk 1Malaysia sehingga 10 ribu ringgit kepada persatuan penduduk
yang berdaftar.
224. Selain itu, 40 juta ringgit diperuntukkan untuk GiatMara
melaksanakan program latihan dalam komuniti, khususnya di 50 kawasan
Projek Perumahan Rakyat untuk fasa pertama.
Memartabatkan Syiar dan Pengutuhan Jati Islam
Tuan Yang Dipertua,
225. Baru-baru ini, seluruh negara dikejutkan dengan insiden menyayat
hati,… tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Itti-fa-qiyah yang
mengorbankan 23 nyawa. Setulus takziah kita ucapkan kepada keluarga yang
terlibat.
226. Demi memartabatkan syiar Islam dan pengutuhan jati insan, khususnya
pengurusan sekolah tahfiz, diperuntukkan 50 juta ringgit kepada
GiatMara bagi membaik pulih dan menyelenggara sistem pendawaian di semua
sekolah tahfiz yang berdaftar di seluruh negara.
227. Selain itu, bagi melatih pelajar sekolah tahfiz supaya lebih
berkemahiran, Skim Latihan Kemahiran GiatMara akan diperkenalkan.
228. Di samping itu, selain peruntukan 588 juta ringgit bagi bayaran
elaun bulanan kepada imam, bilal, guru KAFA dan guru takmir yang
diterima selama ini, untuk lebih menghargai mereka termasuk ‘Tok Siak’,
Kerajaan sukacita mengumumkan,… Bayaran khas one-off sebanyak 1,500
ringgit kepada mereka. Seribu ringgit dibayar pada Januari 2018 dan 500
ringgit lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri, memanfaatkan lebih 65 ribu
orang dengan peruntukan hampir 100 juta ringgit.
PENUTUP
Tuan Yang Dipertua,
229. Demikianlah moga kita dapat berasakan, bak kata orang tua-tua,
sejuk Dewan Parlimen Yang Mulia ini dek redup cuaca petang, agarnya
Tuhan memayung-mayungi dan merahmat-rahmati pembentangan Bajet 2018 ini.
230. Mengambil iktibar daripada sirah perjuangan para Anbiya’, golongan
solihin dan seluruh kehebatan sejarah bangsa kita sendiri, malah, turut
dipesan oleh Imam Ghazali dan Bapak Hamka bahawa,… apalah guna kita
hanya kaya harta, tetapi miskin jiwa.
231. Akan tetapi, apa yang Kerajaan mahukan adalah, sebuah bangsa yang
bukan sahaja hebat fizikalnya, bahkan kaya jiwa dan kaya pekertinya,
yakni Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi.
232. Pucuk pangkalnya, sepanjang berbulan-bulan yang lalu, segala kerja
keras dan titik peluh Kerajaan secara kolektif, melibatkan semua
Kementerian dan agensi, pihak swasta, NGO, para belia, kumpulan
profesional, dan,… teramat utama pelbagai lapisan rakyat yang turut
menyumbang idea dan cadangan melalui pelbagai platform dan saluran,
dalam merangka Naskhah Besar ini.
233. Kerana itulah, belanjawan ini mencipta tawarikh sebagai sebuah Bajet yang paling inklusif pernah dipersembahkan.
234. Semuanya, tidak lain dan tidak bukan telah dikarang dan disusun
dalam memenuhi tuntutan DHO’-RU-RIYYAT, HAA-JI-YAT dan TAH-SI-NI-YAT,
demi mensejahterakan kehidupan rakyat, sekaligus memakmurkan negara.
235. Maka, Tuan Yang Dipertua serta seluruh rakyat Malaysia, pada hemah
saya, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, inilah,….. belanjawan
yang tidak pernah diperucapkan sedemikiannya, semenjak saya ambil alih
tampuk kepimpinan negara ini kerana ianya bersifat holistik dan sarat
dengan falsafah,… dan secara peribadinya boleh ditanda sejarah menjadi
“IBU - SEGALA BAJET”.
236. Sesungguhnya, saya bagi pihak Kerajaan berani berkata demikian,
kerana pada Bajet kali ini, telah terhimpun dan terungkap dalamnya
pelbagai premis yang menjadi asas kepada sebuah Bajet Komprehensif,
mengambil hitung seawal kepentingan bayi yang masih dalam kandungan
sehingga lahir ke dunia ini, sampailah urusan masa hadapan negara.
Tuan Yang Dipertua,
237. Oleh semuanya itu, maka, ter-Nyahlah segala apapun bentuk Keraguan, yang cuba dipolemikkan oleh Pakatan pembangkang.
238. Realitinya, pakatan pembangkanglah sebenarnya yang selama ini,…
berada dalam keraguan. Mereka ragu dengan kepimpinan mereka,… mereka
curiga-mencurigai antara satu sama lain,… malah, mereka saling
guna-memperguna sesama sendiri,… dengan izin Tuan Yang Dipertua dalam
Bahasa Inggeris 'there is no certainty in political leadership, how can
they be trusted to provide a sound economic leadership'.
Waima, kononnya mahu menghapuskan BR1M, kini menyokong pula,… nak
meniadakan GST, tapi kini, nak mengekalkan pula dengan zero-rate dan
tambah balik SST,… nak memotong cukai itu dan cukai ini,… nak
menghapuskan pinjaman PTPTN, tapi kini ternyata nak diadakan kembali,…
nak memperkenalkan subsidi minyak, tapi kini beralih kepada subsidi
bersasar,… dengan izin sekali lagi bak kata orang putih, THE ONLY THING
CONSISTENT WITH THE OPPOSITION IS THAT THEY ARE CONTINUOUSLY
INCONSISTENT.
Apa yang kita sering dengar, asyik-asyik u-turn,… asyik-asyik u-turn,…
and more u-turn,… sehingga segalanya membuat pemikiran rakyat dikeliru,
didamak dan diracuni.
Tuan Yang Dipertua
239. Lalu, syukur setingginya dipanjatkan ke hadrat Allah Hu Taala,
kerana berkat kegigihan usaha Kerajaan selama ini, dikurniakan hasil
bagi dituai dan dinikmati oleh rakyat Malaysia sekalian.
Bayaran Khas Kepada Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan
240. Kepada Penjawat Awam, yang dinanti-nanti telah pun menjelma. Bagi
menyanjung tinggi sifat wala’ dan kesetiaan Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
dalam mendokong kemajuan negara serta melaksanakan sistem penyampaian
perkhidmatan dengan cekap lagi berkesan kepada rakyat,… maka sukacitanya
saya mengumumkan,…. Bayaran khas sebanyak 1,500 ringgit kepada semua
penjawat awam. Bayaran ini akan diberikan dua kali, iaitu seribu ringgit
pada awal Januari 2018, dan 500 ringgit lagi menjelang Hari Raya Aidil
Fitri tahun hadapan.
Manakala tidak pernah dilupakan, kepada pesara Kerajaan, bayaran khas
sebanyak 750 ringgit, iaitu 500 ringgit dibayar pada Januari 2018, dan
250 ringgit lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri. Saudara dan Saudari
Sahabat Seperjuanganku sekalian.
241. Oleh itu, biarpun kita diherdik-herdik dan ditikam-tikam,… tak
sedikit pun kan goyah Barisan ini,… kerana kita yakin bahawa, rakyat
kini semakin bijak menilai yang mana satu kaca dan yang mana satu intan.
242. Terlebih penting, pabila rakyat menghakimi dengan bijak nanti, dan
terus bersatu hati dengan Kerajaan ini, barulah terbentang luas masa
hadapan Malaysia yang cerah, saujana mata memandang.
243. Bagai disesuaikan dengan kalam Megat Terawis satu ketika dulu,… bila
rakyat dan Kerajaan menjadi satu, barulah negara gagah perkasa kerana,…
Pisau di tangan kita, mentimun pun di tangan kita,… kalau nipis
dihiris,… maka nipislah jadinya,… kalau tebal dihiris,… maka teballah
jadinya…
Tuan Yang Dipertua, Saudara dan Saudari, Rakyat Malaysia yang Dikasihi,
244. Menyudahi kalam, dalam melakar dan mencarta titian masa depan
negara, seumpama membidak buah-buah catur. Kita harus membaca gerakan
dengan cermat dan mengatur strategi dengan penuh berhatihati.
245. Dan segalanya hanya mampu diperbuat dan boleh dicapai dengan adanya
kerjasama ikhlas sepasukan. Bertuahlah saya kerana 80 mempunyai, bukan
sekadar seorang Timbalan Perdana Menteri, tapi lebih jauh daripada itu,
seorang sahabat yang setia,… Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
246. Termustahak juga segala wala’ dan sokongan tidak berbelah bahagi
yang diberikan kepada saya oleh Anggota-anggota Jemaah Menteri,
Pimpinan-Pimpinan Parti Komponen dalam menakhoda bahtera Malaysia ini.
247. Lalunya, bersumpah dan berjanjilah bahawa, kalaupun terpenggal
putus tangan dari badan,…sekalipun lumpuh kaki tidak bermaya,…amanah dan
harapan rakyat yang kita genggam jangan sekali-kali terlepas dan
tergadai kepada pihak lawan.
248. Ayuhlah,…kita wajib tetap menggigit amanah yang diberikan itu,
dengan taring-taring dan geraham-geraham masing-masing,… sampai
ketitisan darah yang terakhir,… membawa Barisan Nasional,…. menuju
kemenangan besar dalam Pilihanraya Umum Ke-14 nanti. InsyaAllah.
249. KepadaMu ya Allah, kami berdoa dan berserah. Selamat dan afiatkan tubuh Malaysia, zahir dan batin.
Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon mencadangkan.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.