BERNAMA
Kemaskini: 05/04/2018
PUTRAJAYA -- Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) hari ini mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), memberikannya tempoh 30 hari untuk melengkapkan butiran yang diperlukan atau berdepan pembubaran.
Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim berkata perintah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966.
Katanya PPBM tidak dibenarkan menggunakan nama, logo dan melaksanakan aktiviti berkaitan parti dalam tempoh 30 hari pembubaran sementara itu.
Surayati berkata pembubaran sementara itu dikeluarkan susulan kegagalan PPBM menyerahkan dengan sepenuhnya segala butir-butir maklumat dan dokumen-dokumen yang diminta menerusi notis statutori di bawah Seksyen 14 (2) yang dikeluarkan kepada parti itu pada 28 Feb.
"Oleh demikian, saya sebagai Pendaftar Pertubuhan mengambil tindakan lanjut menurut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 mengeluarkan satu perintah pembubaran sementara ke atas PPBM.
"Sekiranya PPBM dalam tempoh 30 hari daripada tarikh perintah pembubaran sementara ini dikeluarkan, menyerahkan butir-butir maklumat dan dokumen seperti diperintahkan, RoS boleh membatalkan perintah pembubaran sementara ini," katanya dalam sidang media di ibu pejabat RoS di sini hari ini.
"PPBM diingatkan supaya mematuhi arahan pembubaran sementara dengan tidak menggunakan nama, logo atau melaksanakan sebarang aktiviti bagi mengelak dikenakan tindakan," katanya, tanpa memperincikan bentuk tindakan.
Pada 9 Mac lepas, RoS dilaporkan telah mengeluarkan notis kepada PPBM mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966 yang menghendaki parti itu mengemukakan minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti.
Notis berkenaan berkuat kuasa 28 Feb lepas dan PPBM diberi tempoh 30 hari untuk memberi maklum balas dengan menyertakan maklumat dan dokumen yang diminta RoS.
Ditanya mengenai faktor perintah pembubaran sementara itu dikeluarkan, Surayati berkata antara lain disebabkan aduan yang diterima daripada 428 anggota PPBM berhubung cara parti mengendalikan mesyuarat, pengurusan dokumen dan penggunaan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) (sayap Pemuda PPBM) yang tiada dalam perlembagaan parti.
Surayati menjelaskan setelah tamat tempoh 30 hari daripada tarikh tempoh pembubaran sementara dikeluarkan atau jika ada rayuan dan jika rayuan itu ditolak, Seksyen 14 (7) Akta Pertubuhan 1966 memperuntukkan perintah pembubaran sementara menjadi mutlak dan pendaftaran PPBM dibatalkan.
Surayati berkata perintah pembubaran sementara itu memberi kesan kepada proses pendaftaran Pakatan Harapan.
Pakatan Harapan menghantar permohonan pendaftaran pada Julai tahun lepas.
Mengulas tindakan RoS itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata mana-mana parti politik termasuk PPBM perlu mematuhi prosedur undang-undang negara.
"Seharusnya jika kita berpersatuan, perlulah patuh undang-undang persatuan, kalau syarikat ikuti undang-undang syarikat... negara kita negara yang berdaulat, mempunyai peraturan ," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
"Bila berlaku begini yang agak tidak manisnya ada pula tuduhan atau keluar banyak berita tidak benar. Jangan pula buat cerita seolah-olah telah dianiaya dan sebagainya. Mereka yang tidak mengikut prosedur ditetapkan dan itu berita sebenar," tegasnya.
Sementara itu, pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik tindakan RoS mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap parti berkenaan.
Beliau berkata parti itu membantah notis penggantungan sementara itu dan bagi mereka, ia masih berfungsi sebagai sebuah parti.
"Kami hanya akan berhenti apabila RoS membatalkan parti kami secara rasmi. Sehingga itu, kami akan terus berkempen dan akan bertanding dalam pilihan raya kerana kami berhak menggunakan logo dan nama kami, katanya pada sidang media di Petaling Jaya.
Beliau berkata PBBM akan merayu terhadap perintah itu dengan menteri berkenaan dan juga akan menggunakan saluran undang-undang.
*****
PPBM SUDAH TIADA – MAHATHIR
Watan
Najamuddin Mohd Nor
10 April, 2018
Akhirnya Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa akur PPBM yang dipimpinnya ‘lenyap’ dan hanya tiga parti sahaja membentuk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Hasrat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu untuk menyaksikan PPBM berdiri sama tinggi dengan DAP, PKR dan PAN pada PRU14 musnah ekoran kegagalan sendiri yang tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).
Bagaimanapun Mahathir dilihat berdolak dalik ketika ditanya sama ada PPBM akan memohon rayuan kepada ROS susulan arahan pembubaran sementara itu.
“PPBM telah diisytiharkan sementara, jadi saya faham sementara itu bermaksud 30 hari dan 30 hari ini adalah tempoh sepanjang pilihan raya ini.
“(Jadi) PPBM tidak akan bertanding pada PRU kali ini dan kita hormati keputusan RoS itu,” katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH, di Petaling Jaya, pada Selasa.
Meskipun begitu, Mahathir tetap bertekad untuk bertanding pada PRU14 ini sebagai calon bebas menggunakan tiket PKR.
Malah menurutnya, semua calon PPBM yang bertanding juga diseru menggunakan tiket PKR.
“Calon PPBM akan menjadi calon bebas dan mereka akan mendapatkan kebenaran daripada PKR untuk membenarkan kita menggunakan logo itu.
“Jadi kamu akan nampak PH akan ada tiga parti sahaja (PKR, Amanah dan DAP) yang secara sah menggunakan logo PKR dan sekurang-kurang kesemua 160 calon bebas juga akan menggunakan logo parti itu,” jelasnya.
*****
Mahkamah tolak permohonan PPBM
Berita Harian
Murni Wan Omar
Rabu, 11 April 2018 3:43pm
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi mencabar tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang membubarkan sementara parti itu.
Hakim Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara.
Beliau memutuskan bahawa permohonan itu sudah menjadi akademik kerana permohonan PPBM untuk melarang ROS daripada mengeluarkan perintah pembubaran berikutan ia sudah dikeluarkan pada 5 April lalu.
"Di dalam kes ini, PPBM memohon deklarasi bahawa mereka sudah memenuhi keperluan notis Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966 dan menghalang ROS daripada mengeluarkan perintah pembubaran mengikut Seksyen 14(5) akta yang sama.
"Pada pendapat saya, kedua-dua isu adalah dua perkara berbeza dan permohonan perlu difailkan secara berasingan. Tiada pertikaian bahawa mereka sudah memenuhi Seksyen 14(2) dan perintah pembubaran sementara pula sudah dikeluarkan," katanya.
Beliau berkata, pemohon masih boleh mengemukakan permohonan semakan terhadap keputusan ROS membubarkan mereka.
Sementara itu, peguam Rosli Dhalan yang mewakili PPBM ketika ditemui berkata pihaknya akan mengemukakan permohonan baru.
Jabatan Peguam Negara diwakili Peguam Kanan Persekutuan Maisarah Jauhari dan Suzana Atan.
PPBM diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Sharuddin Md Salleh, yang memfailkan permohonan itu dengan menamakan Ketua Pengarah ROS Surayati Ibrahim sebagai responden pada 5 April lalu.
Berdasarkan afidavit yang difailkan, Dr Sharuddin memohon perintah untuk melarang responden daripada mengeluarkan perintah pembubaran secara salah dengan menyalahgunakan Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 terhadap PPBM.
Beliau juga memohon perintah melarang responden untuk mengambil sebarang tindakan secara salah dengan menyalahgunakan peruntukan akta untuk menyekat PPBM dari kekal wujud sebagai parti politik yang sah.
Selain itu, beliau juga memohon perintah deklarasi bahawa PPBM sudah mematuhi semua keperluan ROS.
Beliau juga memohon perintah deklarasi bahawa responden tidak mempunyai asas untuk mengeluarkan sebarang perintah pembubaran terhadap PPBM dan menghalang mereka menjalankan aktiviti sebagai parti politik yang sah berdaftar serta boleh bertanding Pilihan Raya Umum ke 14.
ROS sebelum ini mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM.
Parti itu tidak dibenarkan menggunakan nama, logo atau melaksanakan sebarang aktiviti berkaitan parti dalam tempoh pembubaran sementara itu.
PPBM juga diberi tempoh 30 hari untuk menghantar semua dokumen yang diperlukan ROS dan jika ada rayuan dan ditolak, parti itu akan dibatalkan pendaftarannya.