"Umno jangan bermimpi di siang hari untuk menawan Selangor kerana negeri ini akan kekal dengan kerajaan sekarang, malah Putrajaya juga ditawan PR" - Yaakob Sapari Adun (PKR) Kota Anggerik, merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Di saat pembangkang sibuk dengan perhimpunan yang bakal diadakan Sabtu ini atas alasan perjalanan pilihanraya di Malaysia tidak betul, tiba-tiba pemimpin mereka sendiri mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan mereka bukan sahaja mampu mengekalkan Selangor, malah mereka juga akan menang di peringkat pusat.
Itu buktinya mereka yakin dan percaya kepada perjalanan sistem pilihanraya yang dikendalikan SPR. Jika mereka tahu SPR menipu dan memihak kepada BN, sudah tentu awal-awal lagi mereka akan kata kita akan kalah dalam pilihanraya akan datang kerana kejahatan SPR.
Rakan-rakan yang saya hormati sekalian, apa yang mereka rancang dan apa yang mereka nak buat Sabtu ini tidak lain tidak bukan adalah bagi menjayakan agenda jahat pihak-pihak asing untuk menjahamkan Malaysia.
Bukan soal perjalanan pilihanraya tidak betul atau lain-lain. Soalnya mereka adalah ejen-ejen yang diupah oleh anasir asing untuk menimbulkan huru-hara sepertimana yang terjadi di negara-negara Arab.
Sebelum PRU 2008 pernahkah kita mendengar nama Ambiga ? Walaupun dia pernah menjadi Presiden Majlis Peguam tetapi dia tidak popular dan masyarakat tidak mengenalinya. Orang yang tidak dikenali, tiba-tiba Amerika boleh panggil dan diberi anugerah keberanian antarabangsa pada tahun 2009. Sudah tentu ada makna besar yang terselindung disebalik penganugerahan tersebut. Amerika sebagai sebuah kuasa besar dunia, ingat senang-senang ke nak beri anugerah kalau tidak ada hajat terselindung ?
Ceritanya beginilah, ianya sama seperti peristiwa Anwar Ibrahim diberi sambutan karpet merah di Washington April 1998. Secara logik akal cubalah anda fikir, Anwar sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri ketika itu diberi sambutan dengan karpet merah, tembakan meriam serta memeriksa perbarisan. Logik ke seorang TPM yang hanya berkelulusan kesusasteraan melayu diberi sambutan sebegitu rupa ? Sudah tentu ianya ada maksud terselindung. Samalah seperti kisah Ambiga.
Balik bab pilihanraya....apabila bercakap bab ini saya punya kayu ukurnya senang sahaja. Kelantan sejak tahun 1990 jatuh kepada Pas. PRU 1995 , 1999 , 2004 dan 2008 semuanya telah berlalu dan BN gagal merampas Kelantan dari Pas.
Tahun 2004 Pas menang di Kelantan hanya dengan majoriti dua kerusi. Dan di Dun Kemuning Pas hanya menang dengan majoriti 1 undi. Pada masa itu air liur pemimpin-pemimpin BN Kelantan meleleh sampai ke dagu dan berkata sikit ja lagi. Kalaulah benar SPR itu alat kepada BN, masa itu Pas dah tumbang. Bukan banyak nak tipu pun, setakat 1 undi dan 1 kerusi sahaja. Tetapi itu tidak berlaku.
Tahun 2008, anda semua sebagai saksi dan lihat bagaimana BN kehilangan Selangor, Kedah. Perak, Pulau Pinang serta nyaris-nyaris kehilangan Negeri Sembilan dan BN hilang 2/3 di Dewan Rakyat. Kalaulah SPR main kotor dan alat kepada BN, tak merasa orang-orang Pas nak duduk dalam pejabat pentadbiran Kerajaan Selangor hari ini.
Nik Aziz mula bertanding dalam pilihanraya pada 1967 dalam pilihanraya kecil Parlimen Kelantan Hilir. Kemudian bertanding dalam PRU 1969, 1974, 1978 , 1982 , 1986 , 1990 , 1995, 1999 , 2004 dan 2008. Kesemuanya 11 kali dalam tempoh 45 tahun dan tidak pernah kalah. Kalaulah SPR itu jahat, menipu dan alat BN , tak boleh ke mereka bagi Nik Aziz kalah sekali ?
Semenjak 2008 hingga 2011 ada 16 pilihanraya kecil. Mereka menang 8 dan BN menang 8. Kalaulah SPR itu alat kepada BN dan dikawal oleh BN, apa ke jadahnya nak bagi mereka menang. Apatah lagi di Permatang Pauh. Lebih baik pancung Anwar awal-awal.
Permatang Pauh (PKR)
Kuala Terengganu (Pas)
Bukit Gantang (Pas)
Bukit Selambau (PKR)
Batang Ai (BN)
Manek Urai (Pas)
Penanti (PKR) - BN tidak bertanding
Permatang Pasir (PAS)
Bagan Pinang (BN)
Hulu Selangor (BN)
Sibu (DAP)
Galas (BN)
Batu Sapi (BN)
Tenang (BN)
Kerdau (BN)
Merlimau (BN)
Waktu awal-awal mereka menang berderet-deret bercakap bukan main besar lagi kononnya rakyat dah tolak Umno dan BN. Apabila BN tidak bertanding dalam PRK Penanti bukan main lagi mereka mengejek BN takut kalah dan sebagainya.
Di hujung-hujung musim apabila BN menang berderet-deret termasuk berjaya merampas kerusi Galas dari Pas, mulalah suara-suara syaitan kedengaran menyalahkan SPR dan menuduh BN main kotor. Termasuklah tuduhan yang paling gila dari presiden Pas (presiden yang tiada kuasa) BN lepaskan air di empangan semasa PRK Tenang sehingga pengundi Pas tidak boleh keluar mengundi.
Waktu mereka menang termasuklah berjaya merampas kerusi BN di Kuala Terengganu dan Sibu, Datuk Najib tidak menyalahkan sesiapa dan berkata menerima keputusan dengan hati terbuka, bukti demokrasi di Malaysia berjalan lancar dan akan lakukan post mortem untuk kaji punca kekalahan. Itu jawapan orang yang ada akal. Orang yang menerima ketentuan Qada dan Qadar. Dia musahabah diri dan perbaiki apa yang tidak betul. Dan orang seperti itu boleh berjaya berbanding dengan orang yang sering menyalahkan orang lain diatas kegagalannya.
Baru-baru ini di Kedah, Datuk Najib sebagai seorang PM sanggup merendahkan dirinya memohon maaf kepada rakyat atas kesilapan BN sehingga mereka ditolak dalam PRU yang lepas. Dan berkata BN belajar atas kesilapan lalu serta akan memperbaiki keadaan. Seorang PM telah menunjukkan sifat yang mulia dengan merendah diri kepada rakyat memohon maaf.
Apabila Datuk Najib mohon maaf , pembangkang mengutuk, mengeji, mengejek serta memperli tindakan Datuk Najib. Apakah rakyat tiada otak untuk memikir dan menilai sikap kebudak-budakan mereka itu ? Apabila kalah pilihanraya , SPR yang dituduh menipu....
Nak harap mereka minta maaf atau muhasabah diri, jangan haraplah. Bercakap pasal Islam bergegar-gegar pentas ceramah, tapi bila dah kantoi menipu jangan kata nak minta maaf, malah menambahkan lagi penipuan adalah.
Orang yang tidak mengakui kesilapan sendiri dan tidak bermuhasabah diri hidupnya tidak akan kemana. Satu lagi orang yang suka menipu atau hidup atas penipuan. Hidup mereka tidak tenteram dan tidak akan berjaya. Semua pakej itu lengkap ada pada pembangkang yang wujud di Malaysia hari ini. Jadi, sampai bila pun mereka tidak akan berjaya selagi mereka tidak buang semua perangai itu.
RBF Online
25/4/2012