Di ruang mahkamah pengadilan, seorang hakim duduk termenung menyemak pertuduhan kepada seorang nenek yang dituduh mencuri ubi kayu.
Nenek itu merayu bahawa hidupnya miskin, anak lelakinya sakit, dan cucunya kelaparan. Namun pengurus ladang tuan punya ladang ubi tersebut tetap dengan tuntutannya supaya menjadi iktibar kepada orang lain.
Hakim menghela nafas dan berkata sambil memandang nenek itu, "Maafkan saya, bu! Saya tidak dapat membuat pengecualian undang-undang. Undang-undang tetap undang-undang, jadi anda harus dihukum. Saya mendenda anda Rp1 juta (lebih kurang RM350) dan jika anda tidak mampu bayar, maka anda harus masuk penjara 2 setengah tahun, seperti tuntutan undang-undang."
Nenek itu tertunduk lesu. Namun tiba-tiba hakim membuka topi hakimnya, membuka dompetnya kemudian mengambil dan memasukkan wang Rp1 juta ke topinya serta berkata kepada hadirin yang berada di ruang mahkamah, "Saya atas nama pengadilan, juga menjatuhkan denda kepada setiap orang yang hadir di ruang mahkamah ini, sebesar Rp50 ribu (lebih kurang RM17), kerana menetap di bandar ini, dan membiarkan seseorang kelaparan sehingga terpaksa mencuri untuk memberi makan cucunya. Saudara pendaftar, tolong kumpulkan denda dalam topi saya ini lalu berikan semuanya kepada yang tertuduh."
Sebelum tukul diketuk, nenek itu telah mendapat sumbangan wang sebanyak Rp3.5 juta dan sebahagiannya diberi kepada mahkamah untuk membayar dendanya. Setelah itu, nenek tersebut pulang dengan wajah gembira dan terharu disebabkan masih punya baki wang, termasuklah wang Rp50 ribu yang turut dibayar oleh pengurus ladang yang mendakwanya.